Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR Sarawak lancar manifesto sendiri untuk PRN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR Sarawak mengambil langkah mengumumkan manifesto sendiri bagi pilihan raya negeri kali ini.

Tindakan PKR Sarawak itu berbeza dengan PRN Melaka baru-baru ini di mana setiap parti komponen Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan manifesto sebagai satu gabungan.

Pemangku pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh dalam kenyataan berkata manifesto bertemakan 'Makmur bersama Keadilan’ itu menggariskan enam teras perubahan.

Menurut Abang Zulkifli, teras pertama akan memberi tumpuan kepada peningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan penduduk Sarawak khasnya golongan miskin.

Teras kedua pula akan berkisar kepada penjanaan sektor ekonomi dengan pewujudan peluang pekerjaan baru untuk penduduk Sarawak, dana khas pemulihan sektor pelancongan dan sokongan untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS) melalui skim Sarawak Berniaga, Sarawak Digital dan Mikrokredit.

“Fokus utama juga akan diberikan kepada kemajuan sektor pertanian, penternakan dan perikanan,” katanya.

Selain itu, Abang Zulkifli berkata rancangan Pembangunan Pertanian Moden Luar Bandar (Selda) yang menurutnya berpaksikan kepentingan penduduk luar bandar juga akan menyediakan tanah untuk rakyat yang tiada tanah dan memberikan peluang perkerjaan yang baik melalui usaha pertanian lestari.

Teras ketiga pula, menurutnya, berkenaan mereformasi infrastruktur asas melibatkan pembekalan air, elektrik dan internet ke seluruh Sarawak.

Manakala teras keempat adalah reformasi pendidikan bagi memberi fokus kepada semua sekolah rendah dan menengah daif di Sarawak agar dibaik pulih dengan segera.

Teras kelima berkenaan reformasi hijau dan alam sekitar, yang meliputi dasar perhutanan lestari dan menghentikan pembinaan empangan raksasa hidro.

Teras keenam dan terakhir adalah untuk transformasi perkhidmatan awam, termasuk perkhidmatan awam bergerak di luar bandar bagi memudahkan rakyat luar bandar mendapat kemudahan kesihatan, kebajikan, pendaftaran dan pembankan.

Pelancaran manifesto PKR Sarawak itu dibuat di tengah pertikaian antara parti komponen menjelang PRN yang dijadual pada 18 Disember ini.

DAP bertegas bahawa rundingan kerusi dengan PKR telah selesai pada Januari lalu tetapi PKR Sarawak mendakwa perjanjian itu "batal dan tidak sah" berikutan tindakan pengerusi negeri ketika itu, Larry Sng untuk keluar parti.

Sng keluar PKR pada penghujung Februari.

Dalam kenyataan tegas malam tadi, PKR Sarawak berkata perjanjian rundingan kerusi PH sebelum ini sebagai “batal dan tidak sah”.

Pada 2 Januari 2021, PH Sarawak telah bersetuju bahawa PKR akan bertanding di 47 kerusi, DAP di 26 kerusi dan Amanah di sembilan kerusi.

Persetujuan itu ditandatangani oleh Sng, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Pengerusi Amanah Sarawak Abang Abdul Halil Abang Naili.

PH Sarawak juga telah memutuskan untuk menggunakan logo masing-masing dalam PRN Sarawak kali ini.