Skip to main
Logo Malaysiakini

Mosti kaji langkah kurangkan kos hasilkan produk tani

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sedang menjalankan beberapa kajian untuk mengurangkan kos penghasilan produk pertanian di negara ini.

Timbalan menterinya Ahmad Amzad Hashim berkata kenaikan harga hasil tani termasuk sayur-sayuran sejak kebelakangan ini bukan saja disebabkan jumlah pengeluaran berkurangan, tetapi turut berkait rapat dengan masalah bekalan baja dan racun serangga yang diperlukan.

Kata Ahmad Amzad antara kajian yang sedang dijalankan Mosti ialah penggunaan racun serangga dan baja pertanian menggunakan teknologi nano untuk meningkatkan penghasilan produk dan pada masa sama mengurangkan kos dengan lebih efektif.

"Semalam kita baru berbincang tentang penggunaan baja teknologi nano ini, walaupun harganya agak tinggi tapi kadar penggunaannya sangat rendah... semburan tidak perlu dibuat banyak kali kerana ia (nutrien) akan diserap perlahan-lahan.

"Selain itu, kita lihat juga penggunaan teknologi melalui Agensi Angkasa Malaysia untuk merancang kerja-kerja pembajaan dan penyemburan racun dengan cara lebih efektif.

"Itu antara perkara yang sedang diteliti bagaimana kita boleh membantu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengurangkan kos," katanya.

Ahmad Amzad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan hari guru peringkat daerah Kuala Terengganu di Kuala Terengganu hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Salim Ab Ghani.

Dia yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata antara fokus Mosti ialah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan kementerian lain untuk mengukuhkan sekuriti makanan negara.

"Kejayaan terbaru Mosti ialah penghasilan varian benih padi IS21 hasil penyelidikan Agensi Nuklear Malaysia yang mampu meningkatkan hasil tuaian sebanyak sembilan tan untuk satu hektar sawah berbanding hanya tiga tan sebelum ini.

"Banyak lagi produk pertanian yang sedang di bawah kajian pelbagai agensi di bawah Mosti, antaranya cendawan dan kenaf... dengan teknologi nuklear, kita boleh hasilkan kenaf dengan saiz lebih besar yang pastinya mempunyai lebih banyak serat," katanya.

- Bernama