Pemimpin Bersatu gesa pinda akta bagi kekang kenaikan harga barang
Kerajaan digesa meminda Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan bagi mengekang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Ketua Bahagian Bersatu Segambut Mahathir Mohd Rais berkata ini kerana negara akan mengalami inflasi yang tinggi tanpa kawalan harga yang berkesan, seterusnya membebankan rakyat pada masa hadapan.
“Kenaikan berterusan harga barang sejak beberapa tahun kebelakangan ini akan menyebabkan indeks harga pengguna dan kadar inflasi meningkat secara mendadak.
“Keadaan itu memberi kesan yang besar kepada kehidupan rakyat khususnya golongan B40 berpendapatan rendah terutama mereka yang berada dalam kemiskinan.
“Kerajaan harus komited dalam usaha menangani isu kenaikan harga barang yang semakin membimbangkan.
“Akta seperti Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan harus disemak dan dikemas kini oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahathir berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan, antara barangan yang mencatatkan kenaikan harga paling ketara ialah kubis yang didakwanya meningkat daripada RM4 kepada RM6 sekilogram.
Harga cili hijau juga meningkat daripada RM10 kepada RM14 sekilogram, katanya.
Dia juga mendakwa terdapat laporan bahawa harga alat ganti motosikal meningkat 20 hingga 30 peratus sejak beberapa hari lalu.
“Siapa yang harus dipersalahkan dan bertanggungjawab atas kesengsaraan rakyat yang menanggung beban kos sara hidup yang semakin meningkat?” soalnya.
Tambahnya lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak memainkan peranan dalam memastikan harga barangan mengikut harga yang ditetapkan.
Dia juga mempersoalkan apakah dasar atau inisiatif lain yang diambil oleh kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Penetapan dan penguatkuasaan oleh kerajaan ke atas barangan keperluan, khususnya bagi barangan kawalan perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan harga barangan masih dalam julat harga belian rakyat secara keseluruhannya,” kata Mahathir.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai