Skip to main
Logo Malaysiakini

MB: Perak dalam proses kira pampasan lindungi hutan simpan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perak masih dalam proses pengiraan jumlah sebenar pampasan yang seharusnya diberikan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pampasan terhadap usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengekalkan hutan simpan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu pastinya akan ditangani dengan cara ‘situasi menang menang’ termasuk mengambil pengiraan serta kemampuan semasa Kerajaan Persekutuan, selain tidak meminta jumlah yang tidak munasabah.

“Jumlah tidak pasti kerana ia sedang diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri. Ia juga bergantung kepada kemampuan dan persetujuan Kerajaan Persekutuan. Setakat ini kita belum buat perbincangan dan benda itu (pampasan) kena situasi menang menang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak: Penanaman Pokok Ke-Dua Juta di Kompleks Latihan Perhutanan Sungai Siput (U) di SUngai Siput hari ini.

Saarani mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Nov lepas bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi pampasan kepada negeri yang mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air dan melindungi kawasan itu daripada kegiatan pembalakan haram.

Ismail Sabri turut berkata kerajaan menerusi kementerian berkaitan akan mengkaji formula yang sesuai bagi menetapkan jumlah pampasan.

Selain itu menurut Saarani, Perdana Menteri dalam mesyuarat dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri baru-baru ini, memaklumkan bahawa pampasan akan diberi kepada mana-mana kerajaan negeri yang menguruskan hutan dengan baik.

“Atas sebab pengurusan itu kita terlepas peluang untuk menjana pendapatan, kita tidak boleh tebang balak, tidak boleh buka kuari dan tidak boleh melombong kerana hendak menjaga hutan simpan, jadi Kerajaan Persekutuan kena bayar balik,” katanya.

Sementara itu Saarani berkata kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 1,741 hektar kawasan untuk diwartakan sebagai hutan simpan kekal (HSK) yang baru sejak 2017 hingga tahun ini, membabitkan daerah Kinta, Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Perak Selatan.

- Bernama