PRN Sarawak: Lebih 9,000 pegawai, anggota polis akan diatur gerak
Sebanyak 9,356 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan untuk mengawal keselamatan dan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, bulan depan.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata penugasan tersebut hanya melibatkan polis kontinjen Sarawak dan Bukit Aman akan menambah jumlah anggota tersebut, sekiranya diperlukan.
"PDRM telah bersiap-sedia dan kami tidak mempunyai sebarang masalah menghadapi penugasan PRN Sarawak tidak lama lagi.
"Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang kekecohan semasa PRN Sarawak dan patuh SOP yang telah ditetapkan untuk memastikan PRN ini berjalan lancar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di Kuala Lumpur hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Dis, manakala hari pengundian awal pada 14 Dis.
Sementara itu, Mazlan berkata setakat hari ini, 2,596 pasukan pemantau pematuhan SOP masih digerakkan di seluruh negara, termasuk 339 pasukan di Selangor.
Turut hadir, Pengarah Cawangan Khas Datuk Zamri Yahya dan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai