Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyokong PH Pahang demo bantah Adun Bilut gesa Anwar undur

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekumpulan penyokong Pakatan Harapan Pahang semalam berhimpun di pejabat Adun Bilut Lee Chin Chen untuk membantahnya kerana menggesa Anwar Ibrahim meletak jawatan.

Ini berlaku selepas Lee, yang juga pemimpin DAP berkata bahawa Anwar perlu berundur dan membiarkan generasi muda menerajui gabungan pembangkang.

Ketua Cabang PKR Paya Besar Wan Fauzuldin Wan Samad menganggap kenyataan Lee sebagai 'biadab' dan menggesa ketua pembangkang Pahang itu memohon maaf kepada Anwar dan menarik balik kenyataannya

"Sekiranya gagal berbuat demikian, kami akan mendesak supaya semua jentera PKR dan Amanah di Bentong menghentikan sebarang kerjasama dengan DAP di DUN Bilut," katanya pada satu kenyataan.

Menurut Wan Fauzuldin, kumpulan itu pergi ke pejabat Lee kira-kira 2.30 petang di mana mereka turut menyerahkan memorandum bantahan kepada pegawai khas Lee.

Minggu lalu, Lee telah menyiarkan di Facebook gesaannya supaya Anwar meletak jawatan sebagai pengerusi PH berikutan prestasi buruk gabungan itu dalam pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini.

Menurut Lee, jika Anwar gagal berbuat demikian maka DAP mesti mempertimbangkan kemungkinan untuk keluar daripada PH.

Kenyataannya mencetuskan bantahan daripada pemimpin PKR, termasuk Pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh yang menyifatkan gesaan Lee sebagai "tidak beradab dan tidak menghormati" rakan kongsi PH yang secara kolektif melantik Anwar sebagai ketua pembangkang persekutuan.