Skip to main
Logo Malaysiakini

MP DAP: Pendirian 'u-turn' Wan Fayhsal terhadap sekolah vernakular dialu-alukan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mengalu-alukan pendirian Timbalan Menteri Perpaduan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung kenyataan pemansuhan sekolah vernakular sebelum ini.

Ini selepas Wan Fayhsal, yang dilaporkan meminta sekolah vernakular dimansuhkan pada Ogos 2020, menjelaskan semalam bahawa dia hanya mahu institusi pendidikan itu memperkasakan bahasa Melayu dan bukan memansuhkannya.

“Antara banyak jenis u-turn, ini adalah satu perkembangan yang positif.

“Saya amat mengalu-alukan perubahan pendirian Senator Wan Ahmad Fayhsal.

“Namun saya berharap ini bukan kes lidah bercabang - cakap di parlimen satu macam, cakap di luar parlimen lain macam pula,” kata Sim.

Menurut Sim, sepatutnya, isu sekolah vernakular tidak harus dipolemikkan demi kepentingan politik sempit.

“Jangan hanya kerana hendak meraih undi sesetengah pihak, maka cuba menjadi hero kononnya hendak mansuh sekolah vernakular, tapi bila sudah duduk atas kerusi empuk jawatan menteri dan timbalan menteri, nada berubah pula,” katanya.

Dia berkata, hakikatnya sekolah vernakular adalah sebahagian daripada sistem pendidikan negara yang menggunakan sukatan mata pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia, di mana guru besar, tenaga pengajar serta anggota pentadbiran sekolah semuanya di bawah kelolaan KPM.

 “Justeru tidak wujud isu sekolah vernakular tidak mencerminkan semangat kebangsaan Malaysia.

“Biarlah kita semua bersepakat dalam isu ini, daripada mempolemik dan mempolitikkan isu sekolah vernakular, lebih afdal kita berusaha untuk menambahbaik sistem pendidikan berlandaskan perkembangan sains dan teknologi masa kini, meningkatkan penguasaan bahasa Melayu, memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris selaku bahasa komunikasi antarabangsa, serta menghormati pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda setiap kaum yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda DAP Muhammad Shakir Ameer meminta Wan Fayhsal menyatakan pendirian muktamad terhadap sekolah vernakular.

“Wan Fahysal harus ingat bahawa beliau adalah orang yang sama tanpa mengira jawatan. Tidak ada pendirian berbeza sebagai pemimpin parti politik atau timbalan menteri," kata Shakir.

Shakir berkata, oleh itu tidak masuk akal bagi seorang timbalan menteri untuk memutar belit kenyataannya sendiri, bahkan dia sendiri yang membuat kenyataan sedemikian pada Ogos 2020 atas kapasitinya sebagai ketua Pemuda Bersatu.

“Memberikan gambaran negatif terhadap sekolah vernakular bermula dengan pendirian untuk menutup dan seterusnya memberi tanggapan bahawa sekolah vernakular tidak memperkasakan bahasa Malaysia adalah sesuatu kenyataan 'flip-flop' yang tidak bertanggungjawab.

“Beliau harus meminta maaf kepada semua keluarga tanpa mengira kaum yang menghantar anak masing-masing ke sekolah vernakular,” katanya.

Memetik kenyataan dari Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin, Shakir berkata peratusan pelajar Melayu di sekolah rendah Cina meningkat kepada 15.33 peratus pada 2020 berbanding 9.5 peratus pada 2010.

“Peningkatan pelajar Melayu yang memasuki sekolah vernakular harus diambil iktibar oleh pihak yang suka mempertikaikan kewujudan sekolah vernakular yang kononnya menghalang perpaduan dan integrasi di negara kita.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab ini mungkin perlu mengkaji kenapa bilangan pelajar Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina meningkat.

“Mereka juga harus sedar bahawa sekolah vernakular mempaksikan Sistem Pendidikan Kebangsaan. Mungkin mereka boleh bertanya kepada Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi akan sebab kenapa beliau menghantar anaknya ke sekolah cina.

“Oleh yang demikian, pihak Armada bersama pihak lain tidak harus menggunakan kewujudan sekolah vernakular sebagai bahan momokan untuk kepentingan politik kerana sikap inilah yang akan memporak-porandakan perpaduan di negara kita,” katanya.