Skip to main
Logo Malaysiakini

Omicron: Amerika guna vaksin, penggalak ubah suai jika perlu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Varian Omicron yang baru dikenal pasti adalah satu perkembangan yang harus dibimbangi, tetapi tidak perlu panik, kata Presiden AS Joe Biden pada Isnin, menurut Sputnik.

"... Kita mempunyai lebih banyak pendekatan hari ini untuk melawan varian itu berbanding sebelum ini," kata Biden.

Biden mengatakan varian COVID-19 Omicron dijangka menular ke AS tidak lama lagi dan menggesa orang ramai untuk mendapatkan vaksin lengkap atau suntikan penggalak, sambil menambah bahawa vaksin yang tersedia harus memberikan sedikit perlindungan terhadap strain baharu itu.

Khamis ini, pentadbiran AS akan mengumumkan strateginya untuk memerangi peningkatan kes COVID-19 yang dijangkakan pada musim sejuk ini, namun ia tidak termasuk mengenakan sekatan, kata Biden. Strategi itu akan memberi tumpuan kepada memudahkan vaksinasi yang lebih meluas termasuk suntikan penggalak dan saringan, tambahnya.

Selain itu, Biden berkata beliau tidak menjangkakan sekatan perjalanan tambahan kerana kebimbangan terhadap varian Omicron.

Biden berkata beliau akan mengarahkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit untuk menggunakan proses terpantas yang ada bagi meluluskan mana-mana vaksin yang diubah suai untuk melawan varian Omicron.

Biden menyebut pentadbirannya sudah bekerjasama dengan pegawai di Pfizer, Moderna, dan Johnson & Johnson untuk membangunkan rancangan kontingensi untuk membuat dan menggunakan vaksin atau penggalak yang diubah suai jika diperlukan.

Pada Jumaat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenal pasti strain baharu COVID-19, Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, sebagai satu yang membimbangkan, kerana ia mungkin lebih mudah berjangkit dan berbahaya. Beberapa kes varian baharu itu disahkan di beberapa negara, dan banyak negara mengambil tindakan segera menangguhkan perjalanan dengan negara-negara Afrika selatan bagi mengelak penularan strain baharu itu.

- Bernama