Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pembangkang yang berpecah tak akan ancam kedudukan GPS'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN SARAWAK | Penganalisis menjangka melainkan pembangkang berjaya mewujudkan kerjasama, mereka tidak akan mempunyai peluang dalam berdepan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bakal berlangsung tak lama lagi.

Penganalisis juga menjangka kadar keluar mengundi yang rendah memandangkan pengundi dari luar mungkin enggan menjejaskan rancangan perayaan Krismas mereka dengan pulang awal untuk mengundi pada 18 Disember ini.

Dengan pelbagai kelebihan di pihak GPS, ia memberi tekanan kepada gabungan itu untuk mengekalkan majoriti dua pertiga yang dimilikinya - yang memang menjadi sasaran gabungan itu kali ini.

GPS menyertai pilihan raya sebagai penyandang di 68 kerusi. Pembangkang menjadi penyandang di 12 kerusi di mana Parti Sarawak Bersatu (PSB) memegang enam kerusi, DAP dengan lima kerusi, dan satu karusi dipegang oleh penyandang bebas.

KM perlukan mandat

Bercakap kepada Malaysiakini, penganalisis politik James Chin dari University of Tasmania berpendapat Ketua Menteri Abang Johari Openg amat memerlukan kemenangan besar.

“Ini adalah pilihan raya yang penting untuk Abang Johari walaupun dia tahu dia mempunyai semua kelebihan.

"Ia adalah penting kerana ini adalah pilihan raya pertamanya (sebagai KM) dan dia memerlukan mandat untuk dirinya,” kata Chin.

Terdapat spekulasi bahawa Abang Johari mungkin tidak akan bertanding di Satok, kerusi majoriti Melayu-Melanau bandar yang diwakilinya sejak 40 tahun lalu, untuk bertanding di Gedong iaitu kawasan luar bandar.

Chin menjangkakan bahawa prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya akan datang boleh membantu memudahkan jalan untuk Abang Johari.

Ia terutama apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang perhimpunan awam sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19, seperti yang dilakukan pada PRN Melaka baru-baru ini/

“Dalam Pakatan Harapan Sarawak, parti paling kuat dengan jentera pilihan raya yang mantap ialah DAP... Salah satu taktik teras dalam kempen mereka ialah mengadakan perhimpunan besar-besaran pada malam sebelum hari pengundian.

“Jadi dengan SOP ini, jelas sekali anda tidak boleh mengadakan perhimpunan besar ini. Jadi mereka tidak boleh dapatkan momentum, ia akan menjadi sangat sukar.

“Kedua, SOP akan menguntungkan kerajaan (penyandang) kerana tiada siapa yang akan menguatkuasakan SOP di rumah panjang dan pedalaman. Ini kerana pegawai SPR tidak akan berada di sana,” katanya.

Dalam perbincangannya dengan Kementerian Kesihatan sebelum ini, kerajaan Sarawak meminta SOP yang berbeza bagi kawasan pedalaman kerana kempen menerusi media sosial agak sukar di sana.

Isu dalam PH

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Arnold Puyok berkata PH mempunyai isu kepimpinan.

Ditambah dengan isu-isu lain dalam gabungan itu, Puyok meragui bahawa pengundi akan menganggap pembangkang sebagai alternatif yang baik bagi GPS.

“Saya rasa PH ada masalah dari segi kepimpinan, mereka tidak ada pemimpin yang kuat untuk mewakili suara Sarawak, suara yang boleh menyatukan parti pembangkang.

“Walaupun mereka bercakap tentang banyak isu dasar, mereka bercakap mengenai isu itu secara berasingan. Bukan sebagai suara yang bersatu dan kuat.

“Jadi saya rasa mereka perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan keyakinan rakyat selepas kalah dalam pilihan raya Melaka baru-baru ini,” katanya.

Kadar keluar undi rendah

Bagaimanapun, Chin and Puyok menekankan kebimbangan berhubung kadar keluar undi yang rendah.

Dengan hari mengundi diadakan seminggu sebelum Krismas, Chin berkata ramai penduduk Sarawak yang tinggal di luar negara atau di Semenanjung Malaysia mungkin tidak boleh pulang mengundi.

“Ia terlalu hampir (dengan Krismas). Mereka tidak akan pulang ke Sarawak semata-mata untuk mengundi.

"Jadi sebilangan besar pengundi ini akan hilang dari pilihan raya Sarawak," katanya.

Tambahan pula, ramai yang tidak bersetuju dengan harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi, yang boleh menelan kos sehingga RM3,000 untuk perjalanan pergi dan balik.

Ahli politik dari kedua-dua belah pihak telah menggesa kerajaan melaksanakan kawalan harga penerbangan bagi membolehkan rakyat Sarawak yang tinggal di semenanjung pulang mengundi.

[Baca berita asal]