Hannah Yeoh bertudung hadir hari terbuka masjid di Segambut
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang berselendang ketika menghadiri hari terbuka di sebuah masjid di Segambut mencuri perhatian warga maya.
Mengenakan selendang ungu yang sedondon dengan baju kurung dipakainya, penampilannya bahkan tidak dikenali seorang pengunjung berbangsa Cina, seperti dapat dilihat menerusi video yang dikongsinya di Twitter, apatah lagi kerana dia turut mengenakan pelitup muka.
"Menghadiri Hari Terbuka di Masjid Al-Imam Al-Ghazali Bandar Menjalara #Segambut. Gembira melihat penduduk pelbagai kaum melawat masjid hari ini. Video - uncle ini tak cam saya kerana saya berselendang," ciap Yeoh.
Dalam video itu, Yeoh menyapa seorang lelaki Cina pertengahan usia dan bertanya dari mana dia tahu mengenai program tersebut.
"Kumpulan Hannah Yeoh menjemput saya," jawab lelaki itu selamba.
"Sayalah Hannah Yeoh. Awak tak dapat kenal saya," jawab Yeoh sambil ketawa disambut reaksi terkejut lelaki berkenaan.
Mengulas lanjut di Facebook, kata Yeoh, sebagai wakil rakyat dia akan berpakaian sesuai sekiranya memasuki masjid, bagi menghormati penduduk kawasannya.
"Bila saya berselendang, ada yang tuduh pilihan raya dah dekat ini semua wayang kulit DAP. Kalau saya tak berselendang, nanti tuduh pula DAP menghina Islam.
"Yang bukan Islam sebelah sana pula kritik saya menyusahkan hak bukan Islam. Susah kan? Tapi tak apa, Tuhan Maha Mengetahui," katanya.
Jelas Yeoh, membantu masjid dan surau bukanlah hak ekslusif segelintir parti politik sahaja, sebaliknya ia menjadi tanggungjawab bersama semua pihak berkuasa, wakil rakyat dan komuniti setempat.
Bahkan, dia berpakaian sedemikian ketika memasuki surau atau masjid bukanlah perkara baru atau gimik politik.
"13 tahun saya berkhidmat sebagai wakil rakyat, keluar masuk masjid dan surau berpakaian sesuai dan berselendang untuk sampaikan sumbangan, untuk naik taraf gunakan peruntukan dan berjumpa penduduk.
"Bukan gimik politik. Ini cara saya melaksanakan tanggungjawab saya. Boleh tanya penduduk Subang Jaya dan Segambut.
"Jalan terus," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai