Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang Islam tidak boleh jadi pihak pertikaian perkahwinan bukan Islam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan individu beragama Islam tidak boleh dinamakan sebagai pihak dalam pertikaian perkahwinan, membabitkan pasangan bukan Islam.

Dalam menyampaikan keputusan majoriti 2-1, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Man menolak rayuan seorang warga Britain untuk menamakan seorang wanita Islam sebagai pihak dalam petisyen pemisahan terhadap bekas suaminya, seorang warga Australia. Petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Warga Britain itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengeluarkan wanita Islam itu daripada petisyen pemisahan , atas alasan Seksyen 3(3) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) tidak terpakai kepada orang Islam.

LRA mengawal selia proses perkahwinan dan penceraian bukan Islam di Malaysia, dan Seksyen 3(3) akta tersebut menyatakan bahawa undang-undang tersebut “tidak akan terpakai kepada orang Islam”.

Warga Britain itu cuba memasukkan wanita Islam itu dalam petisyen pemisahan kehakiman atas alasan bahawa wanita berkenaan didakwa menyebabkan keretakan perkahwinan bukan Islam bekas wanita itu dengan warga Australia.

Maimun dan rakannya Mohd Zawawi Salleh membentuk keputusan majoriti yang menolak rayuan hari ini, manakala seorang lagi anggota panel, P Nallini, mengambil keputusan tidak bersetuju dan membenarkan rayuan itu.

Semasa membaca keputusan majoriti hari ini, Maimun berkata bahawa Parlimen menjelaskan apabila ia menggubal LRA bahawa akta itu tidak akan terpakai kepada orang Islam.

Dia berkata tafsiran peruntukan LRA ini adalah selaras dengan konsep pengasingan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah berhubung menangani pertikaian perkahwinan untuk bukan Islam dan Islam.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, memutuskan individu beragama Islam tidak boleh dinamakan sebagai pihak dalam pertikaian perkahwinan yang melibatkan pasangan suami isteri bukan Islam di Mahkamah Sivil.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika menyampaikan keputusan majoriti panel tiga hakim berkata Seksyen 3(3) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) dengan jelas memperuntukkan bahawa umat Islam dikecualikan daripada permohonan LRA.

Bagaimanapun, Hakim Tengku Maimun berkata undang-undang itu terpakai terhadap mualaf Islam dalam kes melibatkan pasangan bukan Islamnya memfailkan petisyen selepas bekas pasangan memeluk Islam iaitu selepas perkahwinan sivil mereka.

Beliau berkata tujuan LRA itu bukan sahaja untuk mengawal perkahwinan dan perceraian orang bukan Islam, malah ia juga sebagai pemisah undang-undang berasingan bagi orang Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Ini adalah berdasarkan Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan mengenai prinsip pemisahan bidang kuasa di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Keputusan majoriti itu yang disokong Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, mahkamah menolak rayuan yang dikemukakan oleh seorang wanita yang identitinya tidak didedahkan.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan yang turut sama bersidang, membuat penghakiman menentang.

Kes hari ini berkaitan rayuan oleh seorang wanita berhubung permohonan undang-undangnya untuk memasukkan seorang wanita sebagai responden bersama dalam petisyen perceraian yang difailkan pada Julai tahun lepas di Mahkamah Tinggi terhadap suaminya, mendakwa perkahwinannya musnah selepas suaminya membuat hubungan sulit dengan wanita Islam itu.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa individu Islam boleh dinamakan sebagai responden bersama dalam petisyen perceraian dan bukannya dalam perpisahan kehakiman dan oleh itu mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengecam responden bersama bagi ganti rugi di bawah Seksyen 58 LRA.