Skip to main
Logo Malaysiakini

PAC gesa kerajaan ambil alih aplikasi MySejahtera

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan harus mengambil alih operasi aplikasi MySejahtera tanpa sebarang bayaran dan kos tambahan memandangkan aplikasi itu pada asalnya dibangunkan secara Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), kata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

PAC berkata ia berpandangan konsep CSR telah digunakan sebagai suatu mekanisma oleh pembangun aplikasi berkenaan untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya.

"Kerajaan tidak harus membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera kerana pembangunannya adalah bersifat CSR.

"Kerajaan hendaklah mengambil alih pengoperasian aplikasi MySejahtera tanpa melibatkan apa-apa kos tambahan memandangkan ia telah menjadi sebahagian daripada sistem kesihatan negara," kata PAC dalam laporan berhubung perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata tempoh CSR selama setahun bagi aplikasi itu telah tamat pada 31 Mac lalu.

Ismail berkata kerajaan telah memutuskan untuk mula membayar pembangun aplikasi mudah alih itu mulai April dan seterusnya, selaras dengan kepentingan aplikasi mudah ali itu dalam pengurusan pandemik Covid-19

"PAC berpandangan konsep CSR telah digunakan sebagai suatu mekanisme untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya," kata PAC.

MySejahtera ialah aplikasi yang diperkenalkan kerajaan persekutuan untuk mengesan wabak Covid-19 dan memberi maklumat terkini kepada orang ramai mengenai perkembangan dan status vaksinasi mereka.

Dilaporkan aplikasi itu dibangunkan oleh syarikat tempatan KPISoft Sdn Bhd yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Aplikasi itu juga dibangunkan bersama oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh juga sebelum ini menyatakan pendirian yang sama agar kerajaan mengambil alih operasi aplikasi itu.