Skip to main
Logo Malaysiakini

Tambahan kekerapan penerbangan ke Sarawak boleh landaikan harga tiket

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Harga purata tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak, antara 11 hingga 31 Dis ini ialah RM360, berdasarkan pemantauan jualan tiket oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada jam 2 petang tadi.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat hari ini harga itu adalah lebih rendah berbanding purata harga tiket penerbangan ke destinasi sama pada Dis 2019.

“Kecuali mereka yang beli (tiket) pada saat akhir kita tidak tahu lagi. Dan kalaulah kekerapan (penerbangan) itu dapat ditingkatkan seperti yang dikehendaki, maka kita dapat melandaikan kadar kenaikan tambang itu untuk membantu mereka yang hendak ke Sarawak atau datang balik ke Semenanjung,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Wee berkata permasalahan dari segi sekatan kekerapan penerbangan ke Sarawak menyebabkan kenaikan mendadak kadar tambang ke negeri itu.

Hasil perbincangan kerajaan bersama syarikat penerbangan, katanya, mereka boleh menurunkan harga secara mendadak jika kekerapan penerbangan ke negeri itu tidak disekat.

“Jadi kerajaan menulis kepada kerajaan negeri (Sarawak), (iaitu) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC)… tetapi kita menghormati Sarawak kerana jumlah yang dibenarkan masuk ke Sarawak adalah pada bidang kuasa imigresen di Sarawak.

“Sebab itu kita minta 520 penerbangan (seminggu) untuk selesaikan masalah ini kerana kita dapati dari segi sekatan frekuensi ini menyebabkan kadar tambang itu naik,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen hari ini membangkitkan isu kenaikan tambang tiket penerbangan dari Semenanjung ke Bumi Kenyalang itu. Antaranya Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti), Ma'mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) dan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru).

Sesi perbahasan itu disertai 22 ahli parlimen dari blok kerajaan, pembangkang dan bebas.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,526,793,800 kepada Kementerian Pengangkutan dalam Belanjawan 2022 dengan lebih suara menyokong.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM520,275,300 yang diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Bajet 2022.

Sidang Dewan Rakyat bersambung esok.

- Bernama