Kes pukul, peras dalam kem askar? ‘DM saya terus’
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkongsi mesej berkaitan dakwaan seorang askar didakwa menjadi mangsa buli, dengan dipukul dan diperas wang ringgit.
Membangkitkan perkara itu di media sosial, Hishammuddin memohon pihak terlibat menyampaikan maklumat lanjut terus kepadanya atau pejabatnya.
“Mohon individu disebalik mesej ini untuk DM (hantar mesej langsung) butiran lebih terperinci terus kepada saya/hubungi pejabat saya segera.
“Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan. Timbalan menteri juga telah diarah untuk teliti perkara ini secara peribadi.
“Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Mesej itu mendakwa adiknya yang tinggal di kem bujang dipukul dan diperas wang sehingga simpanannya hampir habis.
“Barangkan kena beli barang keperluan mereka yang 12-14 orang itu,” dakwa individu itu.
Katanya, adiknya pernah membuat laporan sebelum ini tetapi hukumannya hanya denda kawad 45 minit.
Katanya, keluarga juga tidak berani membuat laporan polis kerana bimbang insiden yang yang menimpa arwah Zulfarhan Osman Zulkarnian berulang.
"Kang pergi umum kat kem, lepas itu diorang tahu adik aku yang buat aduan. Aku takut doq, Tolong,” tulisnya.
Berdasarkan keterangan di mahkamah, Zulfarhan diseksa sekumpulan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Dia meninggal dunia akibat 90 luka melecur daripada seterika wap yang digunakan oleh enam tertuduh - Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali kesemuanya - pada 2017.
Mereka dihukum penjara 18 tahun selepas didapati bersalah membunuh tanpa niat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai