Kelantan bentang belanjawan dengan defisit lebih tinggi
DUN KELANTAN | Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan 2022 dengan unjuran defisit lebih tinggi iaitu RM90.49 juta.
Menteri Besar Ahmad Yakob ketika membentangkan belanjawan bertemakan Kelantan Maju Rakyat Sejahtera itu berkata jumlah defisit tersebut meningkat sebanyak RM24.47 juta berbanding Belanjawan 2021 sebanyak RM66.02 juta.
"Walaupun setiap tahun anggaran belanjawan negeri mencatat defisit, namun untuk empat tahun berturut-turut, kerajaan negeri telah mencatatkan perbelanjaan sebenar yang surplus (lebihan).
"Pada 2017, surplus sebanyak RM38.82 juta, 2018 surplus RM40.46 juta, 2019 surplus RM445.69 juta dan pada 2020 surplus sebanyak RM45.44 juta," katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.
Ahmad berkata Belanjawan 2022 memperuntukkan sejumlah RM1.51 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemat yang melibatkan enam teras iaitu Transformasi Kewangan, Memacu Ekonomi, Pendidikan dan Agama, Kesejahteraan Rakyat, Perlindungan Sosial dan Kebajikan.
Katanya anggaran hasil negeri pada tahun hadapan dijangka sebanyak RM991.74 juta manakala anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1.08 bilion berbanding RM1.09 bilion pada 2021.
"Peruntukan pembangunan bagi 2022 berjumlah RM428.3 juta yang dibiayai di bawah peruntukan negeri dan sumber pinjaman," katanya.
Ahmad berkata hasil terimaan daripada agensi kerajaan menjadi penyumbang terbesar berjumlah RM339.65 juta (34.25 peratus) daripada keseluruhan jumlah manakala hasil tanah menjadi penyumbang kedua terbesar dengan RM317.59 juta (32.02 peratus).
"Terimaan lain-lain menjadi penyumbang ketiga terbesar dengan jumlah RM181.62 juta (18.31 peratus) dan hasil hutan menjadi penyumbang keempat terbesar dengan sumbangan sebanyak RM97 juta (9.78 peratus) daripada keseluruhan jumlah hasil," katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12, Kelantan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar sebanyak 6.7 peratus, melepasi paras nasional sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
Persidangan DUN bersambung Ahad ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai