Skip to main
Logo Malaysiakini

Selangor benarkan projek ERCL ikut jajaran Utara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan negeri Selangor secara rasmi memberi lampu hijau kepada kerajaan persekutuan meneruskan projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut jajaran utara, yang akan bermula di Gombak dan merentasi Serendah, Puncak Alam serta Kapar sebelum berakhir di Pelabuhan Klang.

Ini bermakna projek itu di Selangor akan bermula tidak lama lagi, dengan syarat mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa alam sekitar.

Perkara itu diumumkan dalam majlis memetrai perjanjian bertajuk "Sidang Akhbar ECRL dan Majlis Penyerahan Dokumen Bagi Seksyen C (Penjajaran Utara)", yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang ini.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan tidak mendapat persetujuan daripada kerajaan Selangor, berikutan kerajaan negeri mahu projek itu melalui bahagian selatan negeri itu - yang merentasi Hulu Langat, Kuala Langat, Bangi dan Putrajaya sebelum berakhir di Pelabuhan Klang.

Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, keputusan itu dicapai selepas kerajaan negeri mempertimbangkan semua faktor yang dikemukakanmengenai daya saing jajaran asal.

Menurutnya kerajaan negeri teribat dalam 37 sesi libat urus dengan pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri, Kementerian Pengangkutan, pemilik projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB), dan kerajaan tempatan.

"Justeru, setelah memperhalusi laporan kesemua 37 sesi libat urus projek ECRL bersama-sama dengan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat pada 17 November 2021 dan sekali lagi pada 24 November 2021, telah bersetuju menerima cadangan Jajaran Utara ECRL dan seterusnya meluluskan Jajaran Seksyen C ECRL yang melibatkan Seksyen C1 dari Mentakab ke Gombak dan Seksyen C2 yang merangkumi Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.

"Sehubungan, saya dengan rasminya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tiada lagi halangan bagi pelaksanaan ECRL untuk merentasi bahagian utara negeri Selangor," kata Amirudin dalam ucapannya pada majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, kaunselor Kedutaan China ,Yu Jun, dan pegawai daripada MRLSB. 

Pegawai daripada kontraktor projek China Communications Construction Company Ltd (CCCC) turut mengambil bahagian melalui sidang video.

"Perlu saya tegaskan di sini keputusan kerajaan negeri Selangor setelah mengambil kira hasil perbincangan dan permuafakatan dengan pihak-pihak berkepentingan yang terlibat dengan Projek ECRL seperti Kementerian Pengangkutan (MOT) dan MRLSB, pihak berkuasa tempatan, serta agensi- agensi kerajaan persekutuan dan negeri Selangor telah membuat keputusan yang bermatlamat untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian pembangunan ekonomi bukan sahaja khusus untuk Selangor malah Malaysia amnya," katanya.

Tahun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Selangor Ng Sze Han memberitahu pihak media bahawa kerajaan negeri menentang cadangan jajaran utara kerana jajaran asal itu melalui kawasan tadahan air di Selangor.

Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa laluan jajaran selatan lebih selaras dengan rancangan pembangunan ekonominya.

Jajaran Selatan perlu dipertimbangkan

Dalam ucapannya, Amirudin turut menyatakan hasrat kerajaan negeri Selangor agar Putrajaya mempertimbangkan jajaran selatan yang dicadangkan untuk pembangunan masa depan.

Sambil menegaskan ia bukan prasyarat untuk Selangor bersetuju dengan Jajaran Utara, Menteri Besar itu berkata mereka berharap ia boleh mewujudkan situasi "menang-menang" dalam isu jajaran ECRL.

"Walaupun ini tidak merupakan satu prasyarat dalam sokongan kerajaan negeri Selangor terhadap Jajaran Utara, kami amat berbesar hati sekiranya kerajaan persekutuan dapat mengambil kira keperluan melaksanakan Jajaran Selatan dan memberi kesinambungan Projek ECRL di Jajaran Selatan ini dalam pelan pembangunan di masa akan datang," katanya.

Mengulas perkara itu, Wee dalam ucapannya kemudian memberitahu bahawa MOT akan mempertimbangkan untuk membangunkan 'Seremban Bypass' dalam rancangan pembangunan jangka panjangnya.

Ini, menurutnya, akan melibatkan ketersambungan ECRL di laluan yang sama seperti yang dikehendaki kerajaan Selangor dan merentasi bandar Seremban di Negeri Sembilan.

"Apa yang saya boleh maklumkan ialah selepas kita muktamadkan jajaran ini, apa yang MOT akan lakukan sebagai rancangan jangka pannjang sememangnya dalam tindakan kita. Kita memikirkan persoalan nak buat Seremban Bypass iaitu melalui kawasan disebut YAB kerana ketersambungan ini harus kita teruskan," katanya.

Wee memberitahu mereka yang hadir bahawa MOT juga mempunyai rancangan untuk membangunkan Pulau Carey di Klang -- yang akan mendapat manfaat daripada rancangan Southern Link -- sebagai pelabuhan ketiga di negeri itu.

Sementara itu, mengikut garis masa projek ECRL, yang pada mulanya dijadualkan siap menjelang 2027, Wee berkata projek itu tidak mengalami kelewatan yang ketara.

Menurutnya, Seksyen A dan B projek itu (dari Kota Bharu, Kelantan ke Mentakab, Pahang) hanya mengalami sedikit kelewatan akibat penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan beberapa sekatan pergerakan dikenakan kerajaan.