Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR mahu letak calon di 49 kerusi tapi belum muktamad

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN SARAWAK | PKR negeri akan bertanding di 49 daripada 82 kerusi pada PRN ke-12 yang akan berlangsung pada 18 Dis ini dengan mempertaruhkan gabungan calon muka baru dan lama.

Pemangku Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, berkata senarai penuh calon itu sedang diperinci dan dijangka diumumkan oleh parti terbabit pagi esok.

“Kami telah mengenal pasti calon-calon yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, suku kaum dan pendidikan.

“Saya berasakan kali ini PKR tidak akan kekurangan pemimpin yang mampu melaksanakan tugas di peringkat negeri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR Sarawak di Kuching hari ini.

Menurut Abang Zulkifli, antara kerusi yang masih dalam penelitian PKR ialah Senadin, Kemena dan Piasau apabila masih terdapat pertindihan tuntutan antara parti-parti pembangkang lain di kawasan terbabit.

Abang Zulkifli berkata PKR mahu semua calon yang bertanding pada PRN negeri kali ini benar-benar berkaliber bagi memastikan keputusan memihak kepada pembangkang.

“Selain itu, kami juga sedang memikirkan untuk mengurangkan persaingan (di antara parti pembangkang lain).

"Jika perlu mengundurkan calon, kami akan lakukannya untuk mengurangkan persaingan (antara pambangkang) di sesuatu kerusi,” katanya.

- Bernama