Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendakwaan tidak beritahu kami Zeti sedang disiasat, kata Shafee

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pasukan peguambela Najib Razak mendakwa tidak mengetahui bahawa bekas gabenor Bank Negara Zeti Akthar Aziz sedang disiasat.

Peguam utamanya, Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika menjawab soalan mengapa pihak pembelaan tidak menerima tawaran pihak pendakwaan supaya Zeti tampil memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah RM42 juta bekas perdana menteri itu membabitkan SRC International.

“Dalam kes SRC, pihak pendakwaan menawarkannya kepada kami seolah-olah dia tidak penting. Mereka tidak pernah memberitahu kami Zeti sedang disiasat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur petang tadi.

Menjawap soalan lain, Shafee berkata pihak pembelaan menolak tawaran itu kerana mereka tidak mempunyai sebarang petunjuk berhubung keterangannya.

“Kamu tidak memanggil saksi apabila kamu tidak tahu apa yang akan diperkatakannya itu.

"Jika kami tahu ada ahli keluarganya menerima wang daripada Jho Low, saya akan memohon di bawah Kanun Prosedur Jenayah supaya mahkamah memanggilnya," katanya.

Shafee mengulas mengenai tindakan Najib yang memfailkan permohonan hari ini untuk mengemukakan bukti baru untuk menyokong pembelaannya, enam hari sebelum Mahkamah Rayuan dijadualkan menyampaikan keputusannya.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan kemudian, peguam kanan itu juga merujuk kepada komen bekas peguam negara Tommy Thomas mengenai Zeti semasa temu bualnya pada 24 November.

Katanya, Thomas, semasa satu temu bual, secara terang-terangan mengaku mengetahui ‘peranan Zeti dan suaminya dalam membantu Jho Low’ berhubung 1MDB.

Shafee berkata, Thomas seterusnya mendedahkan bahawa terdapat kertas siasatan dibuka oleh SPRM terhadap bekas gabenor BNM semasa dia memegang jawatan sebagai peguam negara.

Menurutnya, maklumat yang didedahkan baru-baru ini tidak pernah dimaklumkan dan ini boleh menjadi bahan kepada pembelaan.

Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk menyampaikan keputusannya berhubung rayuan Najib yang memohon supaya keputusan bersalah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC dibatlkan.

Dalam afidavitnya, Najib berkata beliau sedang berusaha untuk mengemukakan bukti baharu selepas pendedahan SPRM bahawa Singapura telah menghantar balik ke Malaysia AS$15.4 juta dalam dana berkaitan 1MDB yang melibatkan syarikat milik suami Zeti, Tawfiq Ayman.

[Baca berita penuh]