Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN Sarawak: Dua doktor rebut kerusi Batu Kawah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN SARAWAK | Dr Kelvin Yii dari DAP akan mencabar Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Dr Sim Kui Hian di DUN Batu Kawah pada pilihan raya negeri itu akan datang.

Sim, 56, yang merupakan pakar kardiologi terkemuka dan anak kepada bekas timbalan ketua menteri Sarawak, dianggap sebagai calon heavyweight bagi kerusi berkenaan.

Pada pilihan raya 2016, Sim merampas kerusi itu daripada DAP dengan 54.12 peratus pecahan undi.

Batu Kawah ialah kawasan majoriti Cina bandar yang terletak di selatan Kuching.

Yii, yang juga seorang doktor perubatan, merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuching. Dia juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi di parlimen.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, Yii mempunyai kepakaran untuk mengkritik Sim berhubung prestasinya sebagai penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Chong berkata JPBNS, yang menyelaraskan SOP berkaitan Covid-19 Sarawak, menunjukkan prestasi buruk sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan insiden kematian akibat Covid-19 yang tinggi dan kos penerbangan ke Sarawak lebih mahal dengan mengehadkan penerbangan.

"Yii membangkitkan perkara ini di Parlimen dan penerbangan dibenarkan ditingkatkan. Tetapi ia masih tidak mencukupi," kata Chong, sambil menambah tiket penerbangan yang mahal menyukarkan rakyat Sarawak untuk mengundi pada 18 Dis ini.

Sementara itu Chong akan bertanding di Padungan, kubu kuat DAP yang terletak di pusat bandar Kuching.

Chong berkata perpindahannya dari Kota Sentosa ke Pandungan untuk menjelaskan kepada pengundi berikutan penyandangnya Wong King Wei sebelum ini berpaling tadah daripada DAP.

"Saya perlu berada di sana untuk menjawab kepada pengundi di Padungan berikutan apa yang berlaku. Sebagai seorang pemimpin, saya harus berdepan dengan rakyat," katanya.

Chong menewaskan Sim semasa pilihan raya umum 2018 di kerusi parlimen Stampin.

Sementara itu, Abdul Aziz Isa dari DAP dijangka bertanding semula menentang Lo Khere Chiang dari Supp untuk kerusi Batu Kitang. Pada 2016, Lo memenangi kerusi itu dengan 53.48 peratus pecahan undi.

Pembantu khas Chong, Michael Kong akan menggantikan bekas bosnya sebagai calon DAP untuk Kota Sentosa.