Skip to main
Logo Malaysiakini

'Azmin tak beri gambaran menyeluruh kesan CPTPP pada Bumiputera'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali tidak memberi gambaran menyeluruh tentang kesan sebenar Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Trans-Pasifik (CPTPP) terhadap ekonomi Bumiputera, kata Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir.

CPTPP dijangka akan diratifikasi pada suku pertama tahun depan.

Terdahulu, Azmin telah memberitahu Parlimen bahawa di bawah Lampiran II CPTPP, keistimewaan Bumiputera dalam perolehan kerajaan, hak kepada subsidi, lesen khas atau permit tidak akan terjejas oleh perjanjian itu.

Bagaimanapun, Mukhriz tidak bersetuju dengan penjelasan Azmin bahawa status quo akan kekal bagi kepentingan bumiputera.

"Bila Menteri Miti bercakap tentang Annex II, dia menyentuh soal pengecualian kepada peruntukan di atas, walhal ia tidak mencakupi aspek-aspek penting bagi rakyat.

"Contoh telah diberikan dalam pernyataan saya sebelum ini dan ini termasuk kenyataan bahawa kecuali dalam beberapa sektor yang dibenarkan, Malaysia tidak boleh menetapkan atau mengawal mana-mana keperluan 30 peratus ekuiti Bumiputera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mukhriz juga berkata Malaysia tidak boleh menetapkan syarat terhadap pelabur negara yang menganggotai CPTPP untuk melantik pengurusan syarikat mahupun ahli lembaga pengarah syarikat di kalangan Bumiputera.

"Selain itu, apa-apa pengecualian yang terkandung dalam Annex II tidak tertakluk kepada peruntukan Layanan Adil dan Saksama (FET) dan perampasan (expropriation) dalam bab pelaburan CPTPP yang sama.

"Oleh itu, apa-apa polisi langkah afirmatif (termasuk yang terkait Bumiputera) masih boleh dicabar oleh pelabur asing dari negara ahli CPTPP," katanya.

Tambahnya, kekangan CPTPP yang lain juga memberi impak langsung kepada Bumiputera, tidak hanya terhad kepada sebahagian berkaitan pelaburan, namun juga berkenaan perolehan kerajaan dan syarikat milik kerajaan.

Dia memberi amaran CPTPP juga akan menyebabkan petani kehilangan hak untuk menyimpan, menukar dan menjual benih mereka seperti dalam peruntukan untuk menyertai UPOV91.

Katanya, ia bakal menyebabkan kos pengeluaran petani meningkat sehingga memberi kesan kepada sara hidup mereka.

Kesan negatif terhadap pasaran kerja

Memandangkan CPTPP juga melibatkan penghapusan tarif import kepada negara anggota, Mukhriz berkata ia akan menyebabkan lebih banyak barangan import murah masuk ke pasaran Malaysia yang akan mengakibatkan pengurangan jualan barangan keluaran tempatan.

"Kesan dari peningkatan import berbanding eksport, imbangan dagangan negara akan berkurangan sebanyak ASD2.4 billion setahun (RM9.6 billion).

"Selain itu, Malaysia akan kehilangan cukai import bernilai RM6.4 billion. Semua implikasi di atas adalah sangat negatif bagi Malaysia dan kemampuan kita untuk mengurangkan hutang negara.

"Ia juga akan memberi implikasi kepada pasaran buruh dan keupayaan industri dan perniagaan yang menghasilkan peluang pekerjaan," kata Mukhriz yang merupakan bekas timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Katanya, kerajaan perlu telus dalam kajian kos-manfaat (CBA) terhadap CPTPP.

"Kita gusar apabila Menteri Miti sudah mula mempromosi dan menguar-uarkan yang baik-baik sahaja tentang CPTPP sebelum kajian kos-manfaat disiapkan, seolah-olah tujuan kajian tersebut adalah untuk bersetuju dengan kesimpulannya untuk mendesak Malaysia segera meratifikasikan CPTPP.

"Keseluruhan laporan CBA harus dibentangkan secara telus dan terbuka kepada semua dan dibahas sepenuhnya di dalam Parlimen untuk memastikan bahawa perjanjian ini benar-benar memberi manfaat kepada negara atau pun tidak," katanya lagi.

Malaysia merupakan antara negara awal bersetuju dengan CPTPP pada 2018, tetapi kabinet tidak akan meratifikasi perjanjian itu sehingga CBA dimuktamadkan.

Kerajaan setakat ini tidak menyatakan akan membahaskan CBA di Parlimen.

Negara lain yang menyertai adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Negara-negara ini menyumbang 13 peratus daripada KDNK global.

Malaysia, Chile dan Brunei masih belum meratifikasi perjanjian itu.

China dan Taiwan juga telah memohon secara rasmi untuk menyertai CPTPP.