Skip to main
Logo Malaysiakini

Ali Biju nafi serah kerusi Krian untuk ditandingi GPS

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN SARAWAK | Adun Bersatu, Ali Biju, menafikan dia akan menyerahkan kerusinya, Krian, kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah dia memberi bayangan masih mempertimbangkan untuk terus bertanding di situ bagi menjadi wakil rakyat untuk penggal ketiga.

Kenyataan itu dibuat selepas calon GPS dari Parti Demokratik Progresif (PDP) Sarawak yang akan dipertaruhkan di Krian, Friday Belik, mendakwa Ali tidak akan bertanding di situ.

"Saya tidak pernah bersetuju menyerahkan kerusi saya kepada PDP seperti yang dinyatakan pada Jumaat," katanya dalam kenyataan dibuat malam tadi.

Dakwa Ali, penyokongnya serta sebahagian besar pengundi Krian bertegas mahu dia terus berkhidmat di Krian, justeru wajar bertanding untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Kata Ali, dia akan membincangkan isu tersebut dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Pengerusi GPS, Abang Johari Openg sebelum membuat keputusan muktamad.

Untuk rekod Muhyiddin sebelum ini mengumumkan Bersatu tidak akan meletakkan sebarang calon dalam PRN kali ini.

Semalam Friday sudah menerima surat watikah menjadi calon dalam majlis yang diadakan di Kuching dan turut dihadiri Abang Johari.

Menurut laporan Borneo Post, Abang Johari menyatakan harapannya agar Ali memberikan sokongan kepada GPS dalam pilihan raya pada 18 Dis nanti.

Ali memenangi kerusi Krian pada 2011 dan 2016 atas tiket PKR. Bagaimanapun dia berpaling tadah dengan meninggalkan PKR semasa Langkah Sheraton sebelum menganggotai Bersatu serta menjadi Adun mesra GPS.

Selain menjadi Adun, Ali juga merupakan ahli parlimen Saratok dan kini menjadi timbalan menteri tenaga dan sumber asli.

[Baca berita penuh]