Skip to main
Logo Malaysiakini

17 kematian baru dilapor, terendah sejak 10 Mei

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Repositori data Github Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 17 kematian Covid-19 semalam (3 Dis), menjadikan jumlah kumulatif kematian 30,538.

Ini adalah jumlah kematian terendah yang dilaporkan dalam 207 hari dan terendah sejak 10 Mei, iaitu tujuh bulan lalu.

Malaysia mempunyai jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 925 kematian bagi setiap 1 juta penduduk.

Daripada kematian yang baru dilaporkan semalam, empat meninggal dunia sebelum dapat menerima rawatan di hospital.

Selangor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu tiga atau 17.6 peratus daripada kematian baru yamg dilaporkan.

Kes kematian selebihnya dicatat di Negeri Sembilan (2), Perlis (2), Sabah (2), Terengganu (2), Kuala Lumpur (2), Johor (1), Kelantan (1), Melaka (1) dan Sarawak (1 ).

Tiada kematian baru dilaporkan di Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 15 daripada 17 kematian yang dilaporkan atau 88.2 peratus berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 48 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata tujuh hari sebanyak 43, menunjukkan trend menurun.

Setakat semalam, terdapat 62,486 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 7.5 peratus daripada 67,547 jangkitan aktif seminggu yang lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 7 peratus daripada 67,162.

Jangkitan berkaitan kluster

Kemas kini selepas tengah malam Kementerian Kesihatan juga memberikan maklumat lanjut mengenai jangkitan baru Covid-19 semalam.

Daripada 5,551 kes baru semalam, sebanyak 179 daripadanya boleh dikesan kepada kluster Covid-19 yang berterusan.

Daripada kes berkaitan kluster, 104 (58.1 peratus) adalah dari institusi pendidikan manakala 66 (36.9 peratus) adalah dari tempat kerja.

Enam lagi (3.4 peratus) adalah daripada kluster yang dikaitkan dengan acara keagamaan.

Baki kes dikesan kepada kluster yang berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua (3 - 1.7 peratus).