Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Memperkasa sistem pilihan raya Malaysia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu keunikan menarik dalam sistem pilihan raya demokrasi adalah kewujudan peluang sama rata dan seimbang untuk rakyat bertanding dan pada masa yang sama memilih calon, manakala calon atau parti yang menang ditanggungjawabkan dengan mandat mentadbir selama lima tahun.

Lazimnya, di Malaysia PRU seterusnya akan diadakan dalam tempoh empat hingga empat setengah tahun mandat semasa sedang berjalan.

Hanya dua PRU peringkat nasional yang telah dipanggil ketika di penghujung mandat termasuk PRU-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018.

Para pemilih yang berdaftar mempunyai hak, peluang dan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat pilihan mereka. Para pengundi harus mengetahui tanggungjawab mereka.

Calon dan parti yang bertanding juga mempunyai hak, peluang dan tanggungjawab masing-masing iaitu memastikan pencalonan mereka tidak berhadapan dengan halangan, antaranya ditolak semasa proses penamaan calon. Jika ditolak bermakna mereka akan keciciran peluang untuk bertanding.

Apabila menang wakil rakyat dan parti yang memperoleh mandat mempunyai kuasa untuk membentuk kerajaan, di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri, sekali gus menerajui kerajaan yang dibentuk.

Wakil rakyat dan mereka yang menganggotai kabinet atau barisan exco mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menunaikan mandat yang diberikan oleh rakyat.

SPR pula mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mengendalikan pengurusan pilihan raya dengan cekap, bebas, adil dan telus serta memastikan penyertaan seramai yang mungkin dalam pilihan raya – sama ada calon yang bertanding mahupun rakyat yang mempunyai hak untuk mengundi.

Akhirnya pilihan raya diadakan dengan matlamat untuk memilih sebuah kerajaan yang sah

dan sahih untuk mentadbir negara sepanjang tempoh mandat.

Kuasa tangguh p’raya, persaingan adil

Pada keseluruhannya pengurusan pilihan raya di Malaysia telah berjalan dengan baik dan lancar sejak PRU yang pertama pada tahun 1959. Pun begitu, setiap pilihan raya telah menyediakan pengajaran dan maklumat yang amat berguna untuk membawa penambahbaikan berterusan.

Sebab itu, undang-undang pilihan raya telah dipinda dan dikemaskinikan beberapa kali sepanjang enam dekad yang lalu, termasuk ketika awal 1990-an, 2002 dan 2013.

Pada Julai 2019 peruntukan undang-undang telah dipinda bagi membolehkan kelayakan mengundi dan menjadi calon diturunkan kepada 18 tahun.

Ia juga perubahan yang besar dalam landskap pilihan raya di Malaysia. Berdasarkan pada kehendak dan keperluan semasa, sistem dan undang-undang pilihan raya negara perlu ditambah baik dan amat memerlukan penambahbaikan.

Perkembangan-perkembangan sepanjang tiga tahun yang lalu sejak PRU-14 dengan sendiri telah meletakkan keperluan yang mendesak ke arah itu.

Misalnya kuasa bagi SPR menunda atau menangguhkan pilihan raya ketika krisis kesihatan seperti Covid-19 dan bencana alam serta menyediakan gelanggang persaingan atau pertandingan yang lebih adil kepada semua pemegang taruh.

Ia memerlukan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, perlembagaan negeri dan kesemua undang-undang yang berkaitan dengan pilihan raya.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah mengemukakan 49 syor pada Ogos 2020 bagi membolehkan pilihan raya diuruskan dengan lebih efektif dan adil selaras dengan prinsip pilihan raya demokrasi.

Buat pertama kali dalam sejarah negara tiga PRK telah dibatalkan dan ditunda, masing-masing dua di Sabah dan satu di Perak, yang sepatutnya berlangsung pada bulan Disember 2020 dan Januari 2021.

Ketika buku ini sedang dilengkapkan, pada 12 Januari 2021, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Lanskap baru

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Susulan proklamasi itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan bahawa PRU, PRN dan PRK tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan.

Berbanding tahun 1950-an dan 1960-an, sistem pilihan raya negara sedang bergerak ke arah yang lebih kompleks. Antaranya, kelahiran sistem dua parti.

Banyak pakatan parti politik muncul sejak satu dekad yang lalu terutama selepas Mei 2018. Berbanding 30 tahun lalu, bilangan parti yang bertanding juga telah meningkat. Ini satu persekitaran yang sihat.

Begitu juga kewujudan kerajaan-kerajaan campuran berbanding kerajaan yang didominasi oleh satu-satu parti atau pakatan tunggal sebelum tahun 2018. Senario yang disaksikan di kebanyakan negara demokrasi utama sudah mula bertunas di Malaysia.

Rakyat sudah mula menyesuaikan dengan persekitaran atau landskap yang baharu.

Setiap pihak yang berkepentingan mula sedar akan peranan dan kedudukan serta hak mereka dalam memastikan amalan demokrasi terus dipertahan dan diperkukuhkan demi kepentingan bersama.

Sehubungan dengan itu, pendidikan pilihan raya juga wajar diberi keutamaan bagi menyuburkan lagi amalan demokrasi.


AB RASHID AB RAHMAN ialah bekas pengerusi SPR dan pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC). 

G MANIMARAN pernah berkhidmat sebagai wartawan selama 22 tahun di pelbagai organisasi media cetak dan portal yang membuat liputan politik dan pilihan raya. Bekas ahli tetap ERC itu juga pernah berkhidmat sebagai tenaga pakar komunikasi korporat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia, dan Kementerian Pendidikan.

Tulisan ini dipetik daripada buku Pilihan raya demokrasi Malaysia: tanding, pilih, menang dan tadbir terbitan Penerbit Universiti Malaysia yang baru berada dalam pasaran.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.