Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir: 33 orang di Rantau Panjang dipindahkan ke PPS

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seramai 33 orang daripada enam keluarga di Rantau Panjang dekat Pasir Mas dipindahkan ke satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tengah hari tadi selepas rumah mereka dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan di daerah itu sejak tiga hari lepas.

Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mereka termasuk seorang warga emas dan 12 kanak-kanak dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.

Menurut portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, setakat 4 petang ini, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Rantau Panjang, merekodkan paras amaran dengan bacaan masing-masing adalah 8.59 meter.

Sementara itu di TERENGGANU, situasi banjir di negeri itu semakin pulih dengan jumlah mangsa turun mendadak kepada 34 orang daripada tujuh keluarga setakat 4 petang ini berbanding 130 mangsa daripada 54 keluarga, pagi tadi.

Banjir di daerah Setiu dan Besut pulih sepenuhnya apabila kesemua lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah itu ditutup secara berperingkat mulai pagi tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, PPS terakhir ditutup di daerah Setiu ialah di SK Kampung Besut pada 2 petang.

Ketika ini, hanya satu daerah masih terjejas banjir iaitu Kuala Nerus. Terdapat dua PPS yang beroperasi dengan jumlah mangsa kekal tidak berubah iaitu 28 orang (enam keluarga) di SK Kompleks Mengabang Telipot dan enam sekeluarga di Surau Mak Jintan.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata secara amnya, keadaan cuaca dijangka bertambah baik bermula hari ini.

"Ramalan terkini menunjukkan tiada episod hujan lebat berterusan dijangka untuk beberapa hari yang akan datang. Walaupun begitu, hujan pada sebelah pagi terutama di kawasan pantai masih boleh berlaku.

"Episod hujan lebat berterusan seterusnya dijangka bermula pada 9 Dis depan, namun sepanjang tempoh itu kami akan tetap meneruskan pemantauan di kawasan berisiko banjir," katanya kepada pemberita selepas meninjau situasi banjir di sekitar Setiu hari ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu mencatatkan bacaan 12.56 meter (m) melebihi paras amaran 12m. Di daerah Hulu Terengganu pula, Empangan Tembat mencatatkan 430.49m berbanding paras amaran 430m.

- Bernama