Skip to main
Logo Malaysiakini

Maszlee terkilan lebih 20,000 pelajar berhenti sekolah sejak Mac 2020

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menyatakan rasa terkilan selepas mendapati seramai 21,316 murid berhenti sekolah sejak Mac 2020 hingga Julai 2021.

Maszlee berkongsi angka itu melalui ciapan Twitter yang dilampirkan dengan jawapan bertulis parlimen oleh Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

"Apakah yang telah berlaku kepada Malaysia?

"Ya Allah selamatkanlah negara dan bangsaku dari ketidaktentuan masa hadapan dek kebobrokan para penguasa yang jadong," kata Maszlee.

Jawapan bertulis parlimen itu sebagai menjawab soalan yang dibangkitkan Amin Ahmad (PKR-Kangar) yang meminta Radzi menyatakan jumlah pelajar yang berhenti persekolahan dari Mac 2020 sehingga kini.

 

Untuk rekod, Mac 2020 bertepatan dengan majlis angkat sumpah kerajaan PN Muhyiddin Yassin dan pengenalam perintah kawalan pergerakan bagi membantu membendung penularan Covid-19.

"Berdasarkan data bagi tempoh Mac hingga Disember 2020, murid yang berhenti sekolah adalah seramai 11,301 orang atau 0.24 peratus murid.

"Bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, seramai 10,015 orang atau 0.21 peratus murid direkodkan berhenti sekolah.

"Jumlah keseluruhan murid yang berhenti persekolahan bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah 21,316 orang atau 0.22 peratus murid," kata Radzi.

Awal tahun ini, Maszlee telah melancarkan program penajaan awam untuk menyelamatkan pelajar daripada tercicir dalam tempoh pandemik Covid-19.

Program 'Untuk Malaysia' itu memerlukan sekurang-kurangnya RM250 setiap pelajar setiap bulan untuk meneruskan kempennya.

Katanya, dia telah merancang untuk membantu sekurang-kurangnya 1,000 pelajar pada peringkat pertama.