Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyeludupan arak, rokok bakal dikupas di Dewan Rakyat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Isu aktiviti penyeludupan termasuk arak dan rokok yang didakwa menyumbang kepada kerugian hasil negara dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) pada sesi soal jawab.

Nga meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah kerugian hasil negara akibat aktiviti penyeludupan serta langkah yang diambil kerajaan untuk mengatasinya.

Pada sesi itu juga, Che Alias Hamid (PN-Kemaman) akan membangkitkan persoalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai rancangan menyediakan khidmat guaman syarie kepada golongan ibu tunggal yang kurang berkemampuan.

Selain itu, Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) meminta penjelasan Menteri Pengajian Tinggi mengenai inisiatif mereka membendung isu pembayaran elaun pelajar latihan industri yang rendah.

Shabudin Yahaya (PN-Tasek Gelugor) pula meminta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyatakan langkah yang diambil bagi mengatasi isu pengambilalihan tanah sawah sebagai tapak industri dan perumahan.

Selepas sesi itu, Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini.

- Bernama