Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan: Kedai kopi jual arak perlu mohon lesen mulai Jan 2022

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kedai kopi yang menjual arak bakal disyaratkan memohon lesen baru bermula 1 Jan depan sebagai sebahagian daripada daripada dasar baru kerajaan persekutuan, kata Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya Keu Kok Meng.

Keu - yang dipanggil untuk menghadiri taklimat Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada bulan lalu untuk memaklumkan keputusan itu - berkata peniaga terkejut dengan rancangan pelaksanaan keperluan pelesenaan yang mendadak itu.

Katanya yuran lesen tahunan untuk itu ditetapkan antara RM840 hingga RM1,320 dan akan dikenakan kepada perniagaan bergantung pada waktu operasi mereka.

"Berdasarkan apa yang saya ikuti dalam seksi taklimat itu, saya pasti ia akan dikuatkuasakan di seluruh negara.

"Difahamkan penguatkuasaan dibuat mengikut bawah Peraturan Eksais 1977. Undang-undang itu telah ada, tetapi mereka hanya menguatkuasakannya sekarang.

“Nampaknya, Kementerian Kewangan telah memaklumkan kepada Jabatan Kastam mengenai keputusan itu pada Mac lalu, tetapi kami hanya diberi taklimat sekarang," katanya dipetik The Vibes.

Menurut Keu persatuan terbabit berpendapat tempoh yang diberikan melalui notis itu tidak memadai kerana dibuat pada saat-saat akhir.

Justeru katanya mereka akan membuat rayuan atas ketetapan tersebut.

"Malah, kami telah menulis surat kepada kementerian supaya ia dipertimbangkan semula," katanya.

Dengan 20 hingga 30 peratus ahli persatuan telah menutup kedai akibat kesan Covid-19, menurut Keu, cadangan menguatkuasakan syarat itu hadir pada masa yang kurang tepat.

Tambahan pula tambahnya melihat kepada jumlah wang dan birokrasi yang terlibat, ia menimbulkan kebimbangan mengenai nasib perniagaan mereka.

“Setakat ini, belum ada prosedur permohonan yang disediakan. Itu yang membimbangkan kami. Ia sudah menghampiri penghujung tahun.

“Diharapkan mereka dapat menangguhkan (pelaksanaan) itu ke tarikh lain,” tambahnya.

[Baca berita penuh]