Skip to main
Logo Malaysiakini

Baru Bian: Kenapa Abang Jo, GPS tak desak k'jaan batal rayuan kes kalimah 'Allah'?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian mempersoalkan mengapa ketua menteri sementara Sarawak, Abang Johari Openg dan GPS belum mendesak kerajaan persekutuan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membatalkan larangan penggunaan istilah "Allah" di kalangan orang bukan Islam di Malaysia.

Baru berkata, GPS sebagai gabungan yang menyokong pentadbiran Ismail sabri Yaakob mempunyai pengaruh terhadap kerajaan persekutuan.

"Pengundi perlu bertanya kepada Abang Johari serta menteri dan ahli parlimen GPS mengapa mereka tidak cuba bersuara untuk hak kita dengan meminta Ismail untuk mengarahkan peguam negara agar tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu.

"GPS adalah parti yang menyokong perdana menteri untuk menubuhkan kerajaan persekutuan. Pastinya mereka ada pengaruh sebagai 'king maker' untuk dapatkan sedikit kelebihan buat orang Sarawak. Sebaliknya, mereka seolah-olah masih bertindak sebagai berada di bawah tuan politik mereka di persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, pada April lalu Abang Johari dilaporkan berkata yang orang bukan Islam di Sarawak boleh menggunakan istilah "Allah" walaupun dengan rayuan oleh kerajaan persekutuan.

Baru yang mempertahankan kerusi DUN Ba'kelalan dalam PRN kali ini menggesa pengundi yang mahu perubahan dalam "kepimpinan tempatan" agar mengundi calon yang berjuang untuk mereka.

"Jika kita tidak mahu hak kita kian terhakis, kita tidak boleh kekal dengan kerajaan BN-GPS yang telah gagal membela kita selama 58 tahun.

"Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan mempertahankan keunikan agama dan budaya kita. Kita akan pastikan ahli politik dari Semenanjung tidak menentukan apa yang kita boleh dan tidak boleh lakukan, dan perkataan apa yang boleh digunakan dalam amalan agama kita," katanya lagi.

Semalam, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau turut mengingatkan Ismail bahawa jika dia jujur dengan konsep 'Keluarga Malaysia', dia perlu mengarahkan pejabat peguam negara untuk menarik semula rayuan mereka.