Skip to main
Logo Malaysiakini

Amanah syor PH kaji semula MoU jika kleptokrasi kembali berkuasa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata bahawa partinya akan mengesyorkan supaya Pakatan Harapan (PH) mengkaji kembali keabsahan Memorandum Kesefahaman (MoU) yang telah ditandatangani dengan kerajaan sekiranya golongan kleptokrasi dilihat kembali berpengaruh ke atas pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Amanah menyedari kemenangan calon-calon PH pada PRU ke-14 adalah atas sebab rakyat menolak kleptokrasi dan sifat khianat dalam pentadbiran negara.

"Amanah ingin menegaskan bahawa sekiranya golongan kleptokrasi dilihat kembali berpengaruh ke atas pentadbiran kerajaan Ismail Sabri, maka Amanah akan mengesyorkan supaya PH mengkaji kembali keabsahan MoU yang telah ditandatangani," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu merupakan pemimpin PH yang kedua berkata demikian selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang sebelum ini berkata bahawa MoU perlu dikaji semula susulan isu ‘hadiah’ RM100 juta kepada mantan perdana menteri Najib Razak.

Khalid berkata bahawa Amanah merupakan sebuah parti memperjuangkan sifat integriti dan keamanan dalam politik.

"Sifat ini kami anggap sifat penting dan paksi kepada kebangkitan umat dan negara." katanya.

Tambahnya, kemungkinan golongan kleptokrasi kembali adalah hasil dari tindakan khianat politik melalui Langkah Sheraton.

Langkah Sheraton adalah tindakan parti Bersatu diketuai Muhyiddin Yassin bersama 10 ahli parlimen PKR meninggalkan gabungan PH dan menubuhkan kerajaan baru bersama BN, PAS dan GPS.