Skip to main
Logo Malaysiakini

Restoran, kedai kopi mungkin henti jual bir berikutan dasar baru k'jaan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Enam puluh peratus restoran dan 80 peratus kedai kopi bukan Islam di seluruh negara kemungkinan menghentikan penjualan bir berikutan dasar baru kerajaan yang mewajibkan mereka memohon lesen mulai 1 Jan.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Wong Teu Hoon berkata, pengusaha mungkin tidak merasakan berbaloi untuk membayar antara RM840 dan RM1,320 bagi pengeluaran lesen sedangkan mereka sukar mendapatkan keuntungan daripada penjualan bir.

Dia berkata polisi baru Jabatan Kastam juga akan memberi kesan kepada kedai makan bukan Islam yang lain.

"Saya menganggarkan 60 peratus daripada 15,000 restoran dan 80 peratus daripada 20,000 kedai kopi mungkin akan menghentikan penjualan bir jika peraturan baru itu berkuat kuasa.

"Pelanggan jarang memesan bir di restoran dan kedai kopi dan mereka tidak ke kedai makan ini hanya untuk bir. Bir bukanlah sumber pendapatan utama bagi pengusaha ini.

"Setiap kedai kopi hampir tidak boleh menjual 10 karton bir dalam sebulan. Dalam keadaan sedemikian, pengusaha ini lebih suka tidak memohon lesen bir," kata Wong, yang juga presiden Persatuan Restoran dan Tukang Masak Pan Malaysia Koo Soo kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Wong berkata hanya restoran dan kedai kopi yang terletak di lokasi utama dan tempat pelancongan mungkin mempertimbangkan untuk mendapatkan lesen.

Bagaimanapun, dia merayu kerajaan mempertimbangkan semula dasar baru itu agar penjualan bir masih boleh diteruskan sebagai salah satu sumber pendapatan pengusaha.

Jabatan Kastam mengeluarkan dua pekeliling pada Jun dan Ogos lalu kepada semua pengarah peringkat negeri dan pelbagai pihak berkuasa tempatan, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), untuk menguatkuasakan lesen arak di semua restoran dan kedai kopi.

The Vibes melaporkan jabatan itu telah membatalkan arahannya bertarikh 24 Ogos 1993, yang mengarahkan penangguhan penguatkuasaan pelesenan ke atas penjualan minuman keras, selain bir dan stout, di kedai kopi dan restoran.

Justeru, menurut pekeliling itu, penjualan runcit arak sama ada di restoran atau kedai kopi perlu dilesenkan.

Dasar baru sekat kebebasan

Mengulas lanjut, Wong berkata kerajaan telah mewajibkan restoran yang menjual minuman keras mempunyai lesen.

"Pada bulan September kami dimaklumkan mengenai peraturan baru mengenai lesen itu," tambahnya.

Persatuan Umum Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura dan Persatuan Restoran dan Tukang Masak Pan Malaysia Koo Soo telah meminta bantuan daripada presiden MCA Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lim Ban Hong pada Oktober lalu.

Pemimpin MCA dan Pakatan Harapan membantah keputusan kerajaan atas alasan dasar baru itu menghalang kebebasan orang bukan Islam dan akhirnya akan menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.

China Press juga melaporkan bahawa restoran dan kedai kopi di Perlis dilarang menjual lebih daripada empat karton bir setiap hari.

Kedah juga akan memperkenalkan sekatan terhadap jualan arak di kawasan luar bandar yang permintaannya rendah.

Pada 2 Nov lepas, Exco Perak Akmal Kamaruddin mengumumkan di media sosial bahawa majlis daerah Selama akan mengenakan larangan penjualan minuman beralkohol di semua kedai serbaneka di daerah itu mulai bulan depan.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut melarang kedai runcit, kedai serbaneka dan dewan perubatan Cina di ibu negara daripada menjual minuman keras, berkuat kuasa bulan ini.