Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakan kongsi kanan firma guaman nafi dakwaan gangguan seksual

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NOTA EDITOR: Malaysiakini tidak mendedahkan nama pihak-pihak yang terlibat dalam saman ini bagi melindungi identiti plaintif seperti yang dimohon.

Rakan kongsi kanan sebuah firma guaman di Kuala Lumpur menafikan melakukan sebarang perbuatan tidak wajar terhadap seorang peguam wanita.

Menerusi pernyataan pembelaan terhadap saman wanita berusia 27 tahun itu, peguam berusia 44 tahun terbabit mendakwa dia bukan sahaja tidak pernah melakukan sebarang gangguan seksual, malah wanita itu juga tidak pernah menunjukkan sebarang tanda berada di bawah tekanan semasa bersama firma itu.

Dia mendakwa bahawa cubaan peguam wanita itu untuk meletak jawatan daripada firma itu bukan disebabkan gangguan seksual atau tekanan tetapi ketidakupayaannya untuk bekerja dengan orang lain di firma itu.

Peguam kanan itu mendakwa bahawa tindakan undang-undang yang diambil wanita itu menyamai penyalahgunaan proses mahkamah kerana ia "didorong oleh rasa tidak puas hati plaintif berikutan usahanya yang tidak berjaya untuk terus berkerja dan menyertai semula firma berkenaan".

“Defendan pertama (peguam berusia 44 tahun) menafikan semua dan sebarang dakwaan kelakuan tidak wajar, gangguan, gangguan seksual atau serangan seksual (perbuatan yang didakwa) yang plaintif mendakwa telah menyebabkan dia meletakkan jawatan kerana dia merasakan defendan kedua (firma) tempat kerja tidak selamat.

"Walaupun plaintif telah meletak jawatan tiga kali antara Oktober dan Disember 2019, dia berputus untuk terus bekerja dengan firma selepas peletakan jawatan kali pertama dan kedua.

"Walaupun selepas plaintif mengemukakan peletakan jawatan untuk kali ketiga pada 2 Dis 2019 dan selepas berhenti kerja dengan Firma pada 15 Dis 2019, dia membuat usaha berterusan sehingga Januari 2020 untuk terus berkerja dengan dan menyertai semula firma tetapi tidak berjaya.

"Peletakan-peletakan jawatan plaintif bukan disebabkan oleh tindakan yang didakwa tetapi oleh ketidakupayaannya untuk bekerja atau bergaul dengan seorang rakan kerja dalam pasukan defendan fertama, untuk menyesuaikan diri dalam pasukan, dan/atau untuk menguruskan kerjanya,” kata peguam kanan itu dalam pemfailan mahkamah.

Dia juga mendakwa tidak pernah memanipulasi atau mengancam wanita itu untuk kekal bersama firma itu.

Pernyataan pembelaan, yang dilihat oleh Malaysiakini, difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 2 Dis lalu berhubung saman wanita berkenaan yang mendakwa mengalami gangguan seksual di firma itu dalam tempoh setahun (termasuk 9 bulan menjalani latihan dalam kamar di firma guaman itu) antara Disember 2018 dan Disember 2019.

'Plaintif mempunyai pilihan'

Dalam samannya, peguam wanita itu mendakwa beberapa percubaan pertamanya meletak jawatan telah ditarik balik kerana desakan peguam kanan berkenaan untuk berbuat demikian, termasuk ugutan yang didakwa memberi kesan negatif terhadap prospek kerjayanya pada masa depan.

Menerusi pernyataan pembelaan, peguam lelaki berusia 44 tahun itu mendakwa bahawa selepas dakwaan gangguan seksual seperti yang disebut dalam tuntutan mahkamah, plaintif terus berurusan dengannya dan bekerja seperti biasa, yang bercanggah dengan dakwaannya.

Dia berkata plaintif secara konsisten menunjukkan kesediaan dalam membela dirinya dan membuat ketidaksenangannya diketahui kepada orang lain.

"Plaintif mempunyai satu pilihan untuk tidak bekerja dengan Defendan Pertama.Walaupun dia berhak untuk dipindahkan secara automatik secara bergilir-gilir untuk bekerja dengan seorang rakan kongsi lain di bawah program latihan Firma, dia mengetepikan hak tersebut dan berputus untuk terus bekerja dengan Defendan Pertama selepas itu.

"Dia tidak menimbulkan dakwaan-dakwaan atau membuat sebarang aduan kepada rakan-rakan kongsi Firma, Pengajarnya atau bahagian HR (Sumber manusia)," katanya.

[Baca berita asal]