Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun Tronoh didakwa rogol amah diperintah bela diri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini memerintahkan Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lepas.

Hakim Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 15 dan 16 Feb depan untuk Yong membela diri.

Yong, 51, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

dalam penghakimannya Abdul Wahab berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen-elemen utama iaitu kemasukan pada kemaluan, kejadian seks tanpa kerelaan selain keterangan saksi - termasuk mangsa - yang konsisten sepanjang perbicaraan walaupun diasak bertubi-tubi oleh pihak pembelaan.

“Berdasarkan pemerhatian dan pertimbangan saya sewaktu pendakwaan, sesi soal balas peguam, bukti-bukti barang kes, maka penilaian saya mendapati bahawa pendakwaan berjaya menunjukkan kes prima facie.

“Kenyataan saksi termasuk mangsa juga diambil kira iaitu mangsa cuba melawan, meronta, berteriak sewaktu kejadian tapi tidak didengari kerana bilik tertutup. Malah mangsa juga tidak boleh melawan kerana tertuduh berbadan besar dan wujudnya perlakuan seks tanpa kerelaan,” katanya.

Abdul Wahab sewaktu membacakan keputusan kira-kira 45 minit itu berkata beliau mengambil kira keterangan pakar bahawa wujudnya penetrasi sehingga menyebabkan koyakan baru pada kemaluan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Azlina Rasdi, bersama timbalan pendakwa raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin.

Yong pula diwakili peguam Rajpal Singh dan Salim Bashir.

Sementara itu Rajpal ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah berkata pihaknya akan mengemukakan sekurang-kurangnya empat saksi semasa prosiding membela diri dan anak guamnya akan memberikan keterangan secara bersumpah.

Pada 28 Sept 2021, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 5 April lepas.

Mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 16 Nov 2021.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen Ipoh namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke mahkamah tinggi untuk perbicaraan.

Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

- Bernama