Skip to main
Logo Malaysiakini

Jabatan Alam Sekitar tolak projek lombong bauksit di Kuantan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Alam Sekitar menolak permohonan syarikat milik kerajaan Pahang untuk menjalankan kegiatan perlombongan bauksit di Kuantan.

Semakan di laman Status Penerimaan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) mendapati status projek itu diletakkan sebagai “tolak”.

Laporan EIA itu disediakan oleh jururunding EIA, KenEp Consultancy And Services manakala BG Mining Sdn Bhd dilantik sebagai penggerak projek.

Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dilantik untuk mengetuainya. Subsidiarinya, PKNP Mineral Industries Sdn Bhd akan menjadi pemegang amanah untuk menyelaraskan operasi dan BG Mining Sdn Bhd sebagai operator perlombongan.

Seorang pegawai JAS mengesahkan bahawa pihaknya menolak laporan EIA tersebut pada 11 Oktober.

Katanya, laporan terbabit tidak memenuhi keperluan Seksyen 34A(2C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Seksyen 34A(2C) menyatakan bahawa laporan EIA hendaklah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh ketua pengarah dan mengandungi penilaian mengenai kesan aktiviti ke atas alam sekeliling.

Langkah-langkah yang dicadangkan juga hendaklah diambil untuk menghalang, mengurangkan atau mengawal kesan buruk ke atas alam sekeliling.

Enam tahun lalu, kerajaan persekutuan menghentikan perlombongan bauksit yang giat berjalan di Kuantan, Pahang.

Ketika itu, media melaporkan berkenaan bagaimana kegiatan itu telah mengubah persekitarannya, termasuk menjadikan kawasan di sekitar "bertukar merah".

Bagaimanapun, moratorium untuk perlombongan bauksit sudah tamat dan sebuah badan milik kerajaan Pahang akan mengendalikan projek baru nanti.

Bagaimanapun, laporan impak alam sekitar (EIA) bagi projek itu pada 16 Julai lalu menunjukkan mesyuarat majlis kerajaan negeri pada 12 Mei 2017 setuju untuk mewujudkan "pusat sehenti" melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri untuk melaksanakan operasi perlombongan yang dicadangkan.

Cadangan tapak perlombongan itu, yang meliputi kawasan seluas 3,642.176 hektar (boleh memuatkan kira-kira 6,806 padang bola sepak) terletak di Bukit Goh dan Bukit Kuantan, kira-kira 20 kilometer daripada bandar Kuantan.

[Baca berita asal]