Skip to main
Logo Malaysiakini

Pejuang belum ada rancangan berpakat dengan parti lain

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tiada sebarang hasrat untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau mengadakan pakatan dengan sesiapa sehingga benar-benar pasti pihak terbabit memang memusuhi rasuah.

Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad berkata buat masa ini Perjuang bergerak secara bersendirian.

Terdahulu Mahathir ditanya mengenai kemungkinan Pejuang - yang terlahir daripada krisis dalaman Bersatu - terbuka kepada langkah menjalin kerjasama dengan mana-mana parti termasuk PKR dan DAP.

"Kami simpan untuk kami sendiri. Kami tidak akan menamakan rakan kongsi atau apa sahaja pakatan pilihan raya dengan sesiapa sehinggalah kami tahu pendirian mereka.

"Jika mereka berkongsi objektif dengan kami untuk membasmi rasuah, bolehlah kami bekerjasama," katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Ketika ini Pejuang mempunyai empat ahli parlimen dan lima Adun di sebalik usianya yang baru. Ia diasaskan pada Ogos 2020 ekoran persengketaan di antara pemimpin atasan Bersatu.

Mahathir merupakan pengerusi Bersatu sebelum dia menubuhkan Pejuang. Parti itu didaftarkan secara rasmi pada 8 Julai lalu.

Kata Mahathir partinya itu berdepan kemungkinan hilang sokongan jima tersilap memilih rakan kongsi.

Pada masa sama ahli parlimen Langkawi itu mengakui pada akhirnya Pejuang mungkin perlu menjalin pakatan dengan parti lain, namun ia tidak akan berlaku sekarang.

"Kami perlu bekerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya, kami mungkin mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan mereka.

"Prinsip utama (untuk memungkinkan kerjasama itu) ialah mereka tidak boleh rasuah," tegas Mahathir.

Sementara itu Mahathir berkata pilihan raya umum (PRU) akan datang dianggap detik yang kritikal dan sangat penting.

Hal itu kerana, katanya, pada PRU berkenaanlah negara akan ditentukan sama ada bakal terus ditadbir oleh individu yang korup - jika mereka menang - atau tidak.

Menurut Mahathir jika pengundi boleh dirasuah dan mereka kemudian menyokong orang politik yang menyuap mereka, maka negara ini akan ditadbir oleh sebuah kerajaan yang korup.

"Kerajaan itu tidak akan membenarkan mana-mana kerajaan yang baik untuk muncul.

"Kerajaan selepas itu hanya terdiri daripada orang yang diizinkan oleh kerajaan yang korup," katanya.

Mahathir juga menegaskan, jika diberikan peluang pada PRU ke-15 nanti, keutamaan Pejuang ialah menyingkirkan kleptokrat.