Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin nafi bawa keluarga dalam kunjungan kerja di Eropah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan yang mengatakan dia membawa ahli keluarga bersamanya dalam misi perdagangan dan pelaburan ke Eropah Oktober lalu.

Penafian itu dibuat selepas disoal RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) berhubung perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.

“Setiap perbelanjaan dalam misi perdagangan Miti adalah selaras dengan prosedur dan protokol kewangan kerana sebelum misi perdagangan itu diluluskan, ia telah dibentangkan dalam mesyuarat kabinet.

“Setiap butiran, senarai delegasi, peruntukan, perbelanjaan, destinasi, semuanya diteliti dan diluluskan oleh Kabinet, selaras dengan peraturan dan prosedur kewangan.

"Saya menafikan tuduhan Jelutong (Rayer)," kata Azmin.

Rayer telah mencelah semasa Azmin menggulung peringkat jawatankuasa peruntukan kementeriannya di bawah Belanjawan 2022 untuk bertanya kepada menteri sama ada dia membawa ahli keluarga bersamanya dalam lawatan rasminya pada Oktober.

"Saya hanya ingin meminta penjelasan sama ada benar, seperti yang dilaporkan oleh media, bahawa menteri membawa ahli keluarga bersamanya dalam perjalanan ke London pada Oktober," kata Ahli Parlimen Jelutong itu.

Pada mulanya, Speaker Dewan Rakyat Azizan Azhar Harun telah cuba menghalang Rayer daripada bertanya soalan itu, kerana katanya ia tidak berkaitan dengan butiran peruntukan kementerian di bawah Belanjawan 2022.

Bagaimanapun, selepas Ong Kian Ming (PH-Bangi) menjelaskan bahawa setiap kementerian mempunyai peruntukan untuk perjalanan dan misi rasmi ke luar negara, Speaker menyerahkan kepada budi bicara Azmin untuk menjawab soalan Rayer atau tidak.

Selepas Azmin menafikan dakwaan itu, Rayer menegaskan ia bukan satu tuduhan kerana dia hanya cuba melaksanakan tugasnya sebagai pembangkang dengan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan.

“Jangan perkecilkan usaha kita untuk menyemak dan mengimbangi. Saya tidak membuat tuduhan. Saya bertanyakan soalan bagi pihak rakyat. Apa yang salah dalam hal itu?” soalnya.

Pada Oktober, dilaporkan bahawa Azmin dan pegawai kanan Miti dalam misi perdagangan dan pelaburan ke Jerman, Perancis dan UK antara 13 Okt hingga 21 Okt.