Tarikh akhir MOU baru pekerja domestik Indonesia pada Jan depan
Malaysia telah menyelesaikan beberapa pertikaian dengan Indonesia menjelang tarikh akhir Januari 2022 yang disasarkan untuk menandatangani memorandum persefahaman terkini mengenai pengambilan dan perlindungan perkhidmatan pekerja domestik di negara ini.
Kementerian Sumber Manusia berkata isu berbangkit itu sebahagiannya dibincangkan dalam pertemuan Menterinya M Saravanan (atas, kiri) dengan rakan sejawatannya dari Indonesia Ida Fauziyah di Jakarta awal hari ini.
Menurut kementerian itu, Indonesia telah bersetuju untuk menggugurkan permintaan lamanya untuk pengambilan pekerja bawah sistem "One Maid One Task", yang dicetuskan sejak 2013 dan menimbulkan bantahan daripada pihak berkepentingan di Malaysia.
"Isu berhubung One Maid One Task telah diatasi melalui persetujuan bahawa satu orang PDI boleh berkhidmat bagi isi rumah tidak melebihi enam orang," kata kementerian itu pada satu kenyataan hari ini.
Indonesia telah berhenti menghantar rakyatnya ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah sementara menunggu pemeteraian syarat baru, dengan MOU semasa yang pertama kali ditandatangani pada 2011 dan luput pada 2016.
Kementerian itu berkata Indonesia telah bersetuju untuk merekrut pekerja baru melalui Sistem Satu Saluran yang memperkenalkan pemantauan dan perlindungan yang lebih baik, termasuk perlindungan sosial dan insurans.
"Keputusan juga telah dicapai agar Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Malaysia - Indonesia mengenai MOU PDI diadakan
pada 14 Disember 2021 bagi memperincikan perkara-perkara ini.
"Ini adalah bagi membolehkan kedua pihak mencapai kesepakatan supaya MOU PDI dapat dimeterai seawal Januari 2022," katanya.
Selain itu, kementerian berkata pemeteraian MOU pekerja domestik itu mesti disegerakan kerana Indonesia telah menetapkannya sebagai syarat untuk membenarkan rakyatnya yang lain bekerja di sektor perladangan.
Menteri Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin sebelum ini berkata kerajaan telah meluluskan kemasukan 32,000 pekerja asing, bermula dari Indonesia, bagi mengisi kekosongan pekerjaan segera di sektor itu.
Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dilaporkan menganggarkan kekurangan sekitar 75,000 pekerja ladang, hampir separuh daripadanya pekerja tuaian yang diperlukan untuk memetik tandan buah sawit yang berat dan mudah rosak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai