Skip to main
Logo Malaysiakini

Hartal Doktor Kontrak 2.0 ditunda

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekretariat Hartal Doktor Kontrak (HDK) memaklumkan rancangan mereka untuk mengadakan Hartal 2.0 yang dijadualkan berlangsung hari ini ditunda seketika bagi menunggu penjelasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, langkah itu dibuat selepas HDK mengambil maklum kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 26 Nov yang menyatakan isu tersebut akan dibawa ke mesyuarat kabinet dalam tempoh dua minggu.

"Perlu diingatkan para doktor kontrak merupakan kumpulan penting dalam memastikan kesiapsiagaan pandemik berdepan Covid-19 yang masih belum selesai.

"Kegagalan mendatangkan penyelesaian konstruktif yang meyakinkan dan berkebajikan dengan kadar segera hanya menjemput eksodus #exitKKM besar-besaran, gelombang hartal yang kedua," kata kumpulan itu.

Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan 2022, Khairy berkata, kerajaan bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak 10,583 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dengan peruntukan RM336.35 juta.

Menurut Khairy daripada jumlah itu, 4,186 pegawai telah dinilai dan boleh diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk lantikan tetap. 

Selain itu melalui Belanjawan 2022 baru-baru ini juga, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan, kerajaan bersetuju melanjutkan kontrak lebih 10,000 doktor, doktor gigi dan ahli farmasi untuk dua tahun lagi.

HDK menegaskan pengumuman pelanjutan kontrak dari dua kepada empat tahun seperti yang yang bentangkan dalam sidang Belanjawan 2022 tidak memberi keyakinan kukuh untuk doktor kontrak terbabit terus kekal dalam sektor awam.

Jelas gerakan itu, pelanjutan kontrak tanpa mengiktiraf kesaksamaan tugasan dan kestabilan perjawatan secara bertulis tidak lain hanya meneruskan legasi masalah yang dideritai tenaga perubatan khususnya dalam kalangan doktor kontrak.

"Pelanjutan kontang seperti ini adalah tidak sensitif terhadap situasi doktor kontrak muda negara, tidak boleh diterima meski sebagai solusi jangka masa pendek.

"Perkara sama turut terpalit kepada bukaan 3,000 tempat latihan kepakaran luluan khas (pegawai kontrak). Tanpa perincian kriteria penyerapan, ketelusan proses penyerapan, jumlah bukaan setiap tahun dan tempoh munasabah bagi melengkapkan latihan kepakaran, tawaran 3,000 tempat ini hakikatnya hanya mengulangi kesilapan lama skim lantikan kontrak," kata kenyataan itu lagi.