'Bersikap adil' - Annuar pertahan anak Shahrizat jadi pengarah MDEC
PARLIMEN | Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa mempertahankan pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh, anak kepada bekas ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil, sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Dia menggesa sikap adil terhadap Izzana (gambar, judul) yang berkelayakan tinggi, dan berkata dia tidak harus terbabit dengan isu yang dihadapi ibu bapanya.
"Izzana ialah seorang wanita muda yang berkelulusan tinggi. Graduan dari Imperial College dan (Universiti) Harvard.
"Cuma sekarang beliau dikaitkan dengan satu masalah yang dihadapi oleh keluarganya. Saya merasakan kita harus bersikap adil.
"Kalau kita sebagai ibu bapa menghadapi masalah, kita tidak mahu anak-anak kita yang muda dibuat gangguan sedangkan beliau mempunyai merit yang tertentu.
"Perlantikan beliau adalah berasaskan pada merit beliau," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Annuar menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa belanjawan 2022 kementeriannya hari ini.
Kasthuri Patto (Pakatan Harapan-Batu Kawan) pula membangkitkan Izzana sudah mempunyai jawatan sebagai pengarah di TalentCorp dan ahli panel pelaburan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Saya rasa dengan dua jawatan yang agak berat ini. Mampukah beliau menjalankan tanggungjawab di MDEC?
"Walhal di luar sana ada ramai graduan bukan sahaja dari Harvard tetapi dari universiti tempatan juga yang pada pandangan saya selayaknya atau lebih layak daripada wanita ini," kata Kasthuri.
Sebagai jawapan, Annuar sambil tertawa kecil menyindir bahawa dia berharap Kasthuri "akan lebih membela wanita."
Ahli parlimen Batu Kawan (gambar, bawah) itu kemudian mencelah: "Oh ini bukan isu wanita yang berhormat menteri, ini adalah isu kelayakan dan seseorang yang telah memegang dua lagi jawatan."
Annuar sekali lagi menegaskan bahawa Izzana sangat berkelayakan untuk jawatan di MDEC, berkata lantikannya hanya sebagai pengarah bukan eksekutif sahaja.
“Dari segi kelayakan, jelas beliau layak malah lebih daripada layak dan saya nak jelaskan, jawatan yang dilantik oleh Kementerian Kewangan ini adalah bukan eksekutif.
“Ini bermakna bukannya dia perlu ada pada setiap masa buat kerja di situ. Dia adalah sebagai pengarah bukan eksekutif yang hadir dalam mesyuarat. Beliau tidak ada untuk melakukan operasi harian.
“Seseorang yang duduk dalam banyak syarikat sebagai pengarah tidak menjadi masalah tapi ini adalah Ahli Lembaga Bukan Eksekutif,” katanya.
Netizen sebelum ini menyorot pelantikan Izzana ke MDEC kerana dia merupakan defendan dalam saman kerajaan terhadap keluarganya untuk menuntut semula RM253.6 juta yang terhutang oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).
Kes itu masih dalam perbicaraan dan dijangka disambung semula di mahkamah pada Januari.
Selain Wan Izzana, pihak lain yang terlibat dalam saman itu termasuk ibu bapanya Shahrizat dan Mohamad Salleh Ismail, serta adik-beradik Wan Shahinur Izran dan Wan Shahinur Izmir.
Wan Izzana telah disaman atas kapasitinya sebagai bekas pengarah NFC.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai