Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan kes Najib bukti mahkamah bebas - Mohd Amar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak membuktikan mahkamah di Malaysia bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

"Kalau kita melihat secara terbuka keputusan mahkamah ini membuktikan bahawa mahkamah di Malaysia bebas dan tidak dipengaruhi atau tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

"Ini merupakan satu mesej yang baik kepada masyarakat dan masyarakat antarabangsa kerana isu ini melibatkan seorang yang berkedudukan tinggi dan dunia memberikan perhatian besar kepada negara kita. Ini satu perkembangan yang positif," katanya kepada media.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian ketika diminta memberikan pandangnya berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib.

Sebelum ini Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati dia bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

Semalam, Malaysiakini  panel tiga hakim dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Bagaimanapun hukuman dan denda terhadap Najib ditangguhkan sementara kes dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohd Amar menegaskan keputusan tersebut jelas menunjukkan tiada campur tangan politik seperti yang didakwa pihak-pihak tertentu.

"Kita boleh tengok daripada keputusan ini tidak ada sebarang tekanan dan campur tangan politik.

"(Ini disebabkan) banyak pihak sebelum ini bercakap atau memberi pandangan bahawa akan berlaku campur tangan politik dalam kes ini," jelasnya.

Dia berkata demikian kepada media ketika ditemui di Program Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2021 dan Pelancaran Zon Bersih, Indah dan Ceria PBT Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.