Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Kenapa Program Keluarga Malaysia boleh, tapi perarakan Thaipusam dilarang?’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar mengecam keputusan kerajaan melarang perarakan Thaipusam 2022, tetapi membenarkan sambutan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Dalam kenyataan media hari ini, dia berkata bahawa keputusan dwistandard itu sebagai tidak wajar dan satu diskriminasi yang boleh memudaratkan toleransi kaum dan agama.

"Baru-baru ini, kerajaan telah membenarkan banyak lagi program-program keramaian yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

"Sebagai contoh, saya menerima satu SMS daripada kerajaan semalam. Kandungannya adalah seperti berikut :‘RM0 KKMM: Jom ramai-ramai memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC, 9 hingga 12 Dis ini dengan pelbagai aktiviti menarik’.

"Bukankah SMS ini bertujuan untuk menjemput rakyat jelata datang ‘ramai-ramai’ untuk program yang dianjurkan oleh kerajaan sendiri? Kenapakah MKN dan KKM boleh membenarkan program ini? Mana SOP untuk mengawal penularan varian baru Covid-19? Bukankah ini membuktikan amalan ‘double standard’?" soalnya.

Sivakumar berkata, SOP yang disediakan oleh kerajaan berhubung sambutan Thaipusam seolah-olah berniat untuk menghalang perayaan yang jatuh pada 18 Januari depan.

Untuk rekod, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique memberitahu Dewan Rakyat bahawa semua perarakan perayaan termasuk perarakan kavadi bagi perayaan Thaipusam bagi tahun depan tidak dibenarkan berikutan ancaman varian Omicron.

Katnya, selain Thaipusam, perarakan Chingay juga tidak akan dibenarkan semasa Tahun Baru Cina, manakala SOP untuk perayaan Krismas akan dibincangkan pada mesyuarat 14 Dis.

Kenyataan Halimah mendapat kritikan daripada ahli parlimen pembangkang yang merujuk kepada kadar vaksinasi negara yang tinggi, kejayaan pilihan raya Melaka dan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap larangan perarakan.

Kementerian itu berkata ia mengadakan sesi libat urus antara 10 ketua agama Hindu dari Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Johor, serta wakil daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan pada 2 Dis lalu.

Sesi itu bagi membincangkan prosedur untuk tujuh aktiviti berbeza sekitar perayaan itu, iaitu sembahyang kuil, perarakan kavadi, Paal Koodam (kurban susu), cukur rambut, mandi ritual, pembukaan gerai, pergerakan kereta pedati perak dan perarakan pengiring.