Skip to main
Logo Malaysiakini

Ali Biju tak jadi bertanding di Krian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bersatu, Ali Biju, yang menyertai pilihan raya negeri di Sarawak sebagai calon bebas mengumumkan menarik diri daripada persaingan itu hari ini.

Dia sebelum ini bertanding untuk mempertahankan kerusi Krian yang dimenanginya sejak 2011.

Dengan tindakan tersebut persaingan untuk mengisi kerusi DUN berkenaan kini menjadi pertembungan tiga penjuru.

"Justeru, saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN N39 Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik," katanya dalam kenyataan petang ini.

Untuk rekod asalnya ada empat calon menawarkan diri bertanding di kerusi Krian. 

Selain Ali, tiga calon lain ialah Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu), Danny Kuan (Parti Bumi Kenyalang) dan Friday Belik (GPS-Parti Demokratik Progresif Sarawak).

Dalam PRN ini Bersatu memutuskan untuk tidak meletakkan calon bagi merebut mana-mana 82 kerusi yang ada di Sarawak. Bersatu bersama Perikatan Nasional (PN) juga memberikan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak.

Turut mengambil sikap yang sama ialah BN.

Bagaimanapun salah satu parti komponen PN, PAS, meletakkan calonnya di Beting Maro.

Seru sokong calon GPS

Di sebalik persefahaman itu Ali - yang sebelum ini memenangi kerusi parlimen Saratok atas tiket PKR - mencalonkan dirinya untuk kerusi Krian.

Selain Ali, ada tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding sebagai calon bebas pada 18 Dis ini iaitu Siki Balarik (ketua Bersatu Hulu Rajang) di kerusi Belaga, Ketua Bersatu Kota Samarahan, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan Ricky Enteri (Bawang Assan).

Ia kemudian Ia kemudian mengundang rasa kurang senang GPS. Pengerusinya Abang Johari Openg, berkata apa yang berlaku itu jelas bertentangan dengan janji yang dibuat Bersatu.

Abang Johari Openg

“Sudah tentu saya kecewa. Terdapat persetujuan bahawa tiada (ahli) Bersatu akan bertanding dalam pilihan raya ini,” katanya semalam.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu juga memberi isyarat bahawa dia mengharapkan Bersatu mengambil tindakan terhadap ahlinya yang melanggar janji. 

Kata Ali dia menawarkan diri sebagai calon Krian setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pemimpin masyarakat dan pengundi DUN berkenaan.

"Sebagai wakil rakyat yang telah dipilih semenjak 2011, dukungan dan sokongan padu ini memperkukuh tekad saya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok," katanya.

Bagaimanapun, kata Ali dia sedar keputusan tersebut menjejaskan hubungan baik di antara Bersatu dan GPS.

Katanya, dia kemudian mendapat nasihat daripada pimpinan tertinggi Bersatu serta jaminan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati parti itu dengan GPS.

"Saya menyeru kepada seluruh pengundi di DUN Krian, DUN Kalaka dan DUN Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon-calon GPS," katanya.

Sementara itu Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata mereka sangat berbesar hati dengan keputusan diambil Ali dan membuktikan ahli politik terbabit berjiwa besar.

"Keputusan ini walaupun mungkin agak sukar bagi beliau tetapi membuktikan dirinya berjiwa besar dan ia adalah tindakan yang dipandang tinggi oleh Presiden Bersatu," katanya.

Senator itu berkata keputusan yang diambil Ali juga selaras dengan ketetapan parti itu untuk tidak bertanding dalam PRN Sarawak kali ini demi menjaga kestabilan politik dan semangat setiakawan dengan GPS.

"Oleh itu saya dengan ini amat menyanjungi semangat, iltizam dan komitmen Ali yang berkorban demi masa depan rakyat Sarawak.

"Tindakan ini wajar dijadikan contoh dan diteladani semua ahli politik kerana keberanian ini adalah demi kestabilan politik dan perjuangan yang lebih besar untuk rakyat Sarawak," katanya.