Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 230,000 orang terima dos penggalak Selangor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

DUN SELANGOR | Sidang hari ini diberitahu jumlah penerima dos penggalak vaksin Covid-19 dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor hingga 20 Nov lepas ialah seramai 231,533 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata buat masa ini belum ada data lengkap mengenai jumlah penerima dos ketiga menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX) Booster iaitu pemberian sebanyak 157,000 dos penggalak secara percuma yang dilancarkan semalam.

Katanya dos penggalak diberikan susulan kelulusan penggunaan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada 17 Nov lepas.

“Maklumat lanjut mengenai Program SelVax Booster di DUN akan diumum dalam masa terdekat selepas kerajaan negeri memperincikan prosedur operasi standard,” katanya menjawab soalan Wong Siew Ki (PH-Balakong) yang ingin tahu mengenai vaksin Covid-19 di Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata sejak 2010 hingga kini, Program Pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSEL) memberi manfaat kepada 53,364 orang penerima rawatan yang terdiri daripada 29,225 Melayu, 17,616 Cina, 6,360 India dan 163 lain-lain.

Menjawab soalan Rozana Zainal Abidin (PH-Permatang) yang bertanyakan mengenai program MammoSEL, Dr Siti Mariah berkata, berdasarkan kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), golongan paling berisiko mendapat kanser payudara ialah individu berusia 50 tahun ke atas.

Golongan berumur 35 hingga 50 tahun pula, katanya, adalah mereka yang kurang berisiko.

“Golongan kurang berisiko ini pada kebiasaannya hanya mendapatkan pemeriksaan secara imbasan asas sahaja.

"Daripada dapatan kajian tersebut dan agar program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang terkesan, maka penambahbaikan syarat kelayakan iaitu dengan menaikkan tahap umur dari 35 tahun ke 50 dipersetujui kerajaan negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Selain itu, kaedah pemeriksaan juga telah ditambah baik dengan menyediakan pemeriksaan biopsi yang ditanggung oleh kerajaan negeri bernilai hingga RM2,500 seorang,” katanya.

- Bernama