Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis beri jaminan tahap keselamatan di Sabah terkawal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis memberi jaminan tahap keselamatan di Sabah terkawal walaupun terdapat laporan media asing yang mendakwa akan berlaku pencerobohan oleh pihak dari Filipina ke atas Negeri Di Bawah Bayu itu.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata setakat ini, tiada pengesahan diterima pihaknya mengenai perancangan yang dimaksudkan itu.

Dia berkata maklumat itu dipercayai dimanipulasi oleh pihak yang mencemburui tahap keselamatan negara serta hubungan rapat antara Sabah dengan wilayah selatan Filipina.

“PDRM memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan serta ancaman pencerobohan.

"Kita akan memberikan komitmen dalam perkara ini bagi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah. PDRM mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina untuk perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Acryl Sani berkata polis sentiasa bersedia untuk menangani sebarang ancaman dan usaha juga akan dipergiatkan bagi mengesan serta mengenal pasti anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot terbabit.

Menurutnya, sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan dikenakan tindakan tegas.

Media antarabangsa semalam melaporkan satu mesyuarat diadakan pada 1 Dis lepas yang diatur oleh seorang pegawai kanan kerajaan tempatan Wilayah Sulu yang dihadiri 19 datuk bandar di sana bagi membincangkan penubuhan ‘Tentera Diraja Sulu’ untuk menawan Sabah dengan 11 daripada datuk bandar yang hadir bersetuju dengan rancangan itu.

Serangan ke atas Sabah itu didakwa akan berlaku pada Februari tahun depan.

-Bernama