PBK janji RM3,000, Sarawak merdeka, selesai isu rakyat tanpa IC
PRN SARAWAK | Parti Bumi Kenyalang (PBK) menjanjikan RM3,000 kepada pengundi Sarawak jika mereka menang pilihan raya negeri Sabtu depan.
Menurut manifesto parti yang dilancarkan semalam, PBK menyatakan cadangan pemberian tunai itu sebagai "dana bantuan kesusahan khas".
Bagaimanapun, bayaran hanya terhad kepada mereka yang benar-benar mengundi semasa pilihan raya.
Presiden PBK Voon Lee Shan mengumumkan manifesto itu [boleh diakses di sini] semalam. Pun begitu dia tidak mendedahkan kaedah untuk membuktikan seseorang itu telah mengundi.
Janji pilihan raya PBK menggabungkan matlamat khusus dan kenyataan umum. Ringkasannya adalah seperti berikut:
Sarawak merdeka
PBK berjanji untuk mencari jalan supaya Sarawak keluar dari Malaysia secara aman, sama seperti Singapura.
PBK telah pun memfailkan saman terhadap kerajaan Sarawak, Malaysia dan United Kingdom memohon pengisytiharan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 adalah tidak sah.
Agihan kekayaan minyak
PBK berjanji untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 30 peratus hasil tahunan daripada pengeluaran minyak mentah kepada semua pengundi Sarawak.
Manifesto itu hanya menyebut minyak mentah dan bukan gas asli - produk petroleum utama Sarawak.
Pendidikan percuma
PBK mahu menyediakan pendidikan percuma kepada semua rakyat Sarawak untuk kolej, universiti, sekolah vokasional dan teknik terpilih yang terletak di negeri ini.
Subsidi perumahan
PBK mahu memberi subsidi deposit dan memberi pinjaman tanpa faedah kepada pembeli rumah kali pertama.
Pajakan 999 tahun tanah NCR dan tanah adat
PBK akan menyediakan dana untuk mengukur tanah adat orang asal dan tanah adat. Tanah tersebut akan dikeluarkan pajakan selama 999 tahun.
Harga kenderaan lebih murah
PBK berjanji untuk memberi subsidi pembelian kenderaan bermotor pertama.
Mereka juga mahu menghapuskan cukai import untuk kenderaan.
Selesai masalah rakyat tanpa dokumen warga negara
PBK berjanji untuk menyediakan semua rakyat Sarawak tanpa dokumen warga negara dengan sijil kelahiran, kad pengenalan dan akses terhadap pasport.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai