Skip to main
Logo Malaysiakini

Status MySejahtera jingga: Bicara kes rasuah Rosmah tangguh lagi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Status MySejahtera Rosmah Mansor hari ini masih menunjukkan bahawa isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu adalah kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Justeru, perbicaraan kes rasuah tenaga solar yang membabitkan dirinya, hari ini tidak dapat diteruskan.

Pada Rabu lalu, prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membabitkan perbicaraan rasuahnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, juga dikosongkan kerana dia tidak dapat memasuki bangunan mahkamah kerana status MySejahtera yang berwarna jingga.

Semasa prosiding di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan pagi ini, peguam bela Jagjit Singh memaklumkan tertuduh tidak dapat memasuki Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kerana status MySejahtera yang masih berwarna jingga.

"Saya difahamkan pagi ini, statusnya telah disahkan oleh pendaftar mahkamah," kata peguam itu ketika hakim bertanya jika status MySejahteranya telah kembali kepada warna biru (berisiko rendah).

Jagjit menjelaskan bahawa pendaftar mahkamah, Catherine Nicholas, turun ke kereta Rosmah yang diletakkan di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, dan mengesahkan status MySejahteranya masih berwarna jingga.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan, kemudian melapangkan tarikh perbicaraan dan memohon pihak pembelaan mengemaskini status Rosmah pada Isnin ini, untuk mengetahui sama ada status MySejahtera masih jingga atau sebaliknya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram mencadangkan supaya prosiding mahkamah jenayah hari ini ditukar kepada prosiding dalam talian hibrid, mengikut peruntukan di bawah undang-undang.

"Saya cadangkan kita meneruskan prosiding dalam talian hibrid, di mana dia boleh memberi keterangan dari rumahnya," kata bekas hakim mahkamah persekutuan itu.

Katanya, Rosmah boleh memberi keterangan secara dalam talian, sama ada di pejabat peguam mahupun di rumah dengan kehadiran pihak pembelaan dan pendakwaan.

Mendengar saranan itu, Mohamed Zaini berkata, dia ada memikirkan pendekatan itu, namun tiada peruntukan undang-undang mengenainya.

"Saya tidak mahu menjejaskan keseluruhan perbicaraan hanya sebab ia okay pada peringkat ini. Saya mahu lebih berhati-hati," katanya.

Hakim itu kemudian menetapkan tarikh tambahan bagi perbicaraan itu memandangkan masih ada dua saksi pembelaan yang perlu memberi keterangan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 23 hingga 24 Disember ini dan 13 serta 14 Januari depan untuk perbicaraan kes.

Rosmah, 69, menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

[Baca berita penuh]