Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemandu lori didenda RM2,000, pindah 21 ekor lembu tanpa kebenaran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret (Munisipal) di Butterworth hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pemindahan 21 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang pada Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Aidil Abdul Halim, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memindahkan 21 ekor lembu hidup menggunakan lori tanpa mendapat kebenaran bertulis pengarah negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

Kesalahan didakwa dilakukan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada jam 10.07 malam, 29 Jan lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 (Akta 647).

Ia boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM15,000.

Dalam rayuannya, Mohd Aidil memohon mahkamah mengurangkan jumlah denda dengan alasan perlu menyara keluarga dan membayar ansuran pinjaman perumahannya.

Noor Farah Hazwani turut memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,200 dilucut hak.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPV Negeri Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama

TAG: mahkamah, Akta Binatang 1953, pemandu, denda, lembu, veterinar

FBP NHH DC

Friday , 10 December 2021