Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakyat Pahang mungkin perlu bayar 'cukai mudarat' di taman tema

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semua taman tema dan pusat hiburan keluarga di seluruh Pahang kini sedang mengkaji untuk mengenakan kos tambahan bagi menampung cukai hiburan (cukai mudarat) kepada pelanggan.

Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (Matfa) berkata demikian selepas kerajaan negeri Pahang menolak rayuan untuk pengecualian cukai hiburan sebanyak 25 peratus ke atas taman dan pusat hiburan keluarga.

"Matfa telah membuat rayuan dan petisyen berulang kali kepada kerajaan negeri Pahang, mewakili pihak pusat hiburan keluarga dan taman tema di seluruh negeri itu.

"Namun, terlalu sedikit perkembangan dan perkongsian pandangan daripada kerajaan negeri di samping kurangnya sesi dialog untuk bertukar-tukar fikiran. Kerajaan negeri telah mengesahkan bahawa mereka akan terus mengenakan cukai hiburan sebanyak 25 peratus ke atas taman tema dan pusat hiburan keluarga (FEC).

"Maka, kami kini sedang mempertimbangkan satu keputusan yang kurang menyenangkan iaitu mengenakan kos cukai hiburan ke atas pelanggan keluarga dan anak-anak yang merupakan pelawat terbesar kami," kata Presidennya Richard CK Koh pada satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Matfa tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan pelaksanaan ini kerana cukai berkenaan lebih bersifat menghukum dan kerajaan negeri tidak bersikap adil dalam menilai isu ini dengan cara yang baik.

Untuk rekod, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Belanjawan 2022 mengumumkan pelepasan cukai hiburan selama setahun ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang.

Tetapi, pelaksanaan tersebut hanya berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) sahaja. Di peringkat negeri hanya Selangor dan Johor bersetuju memberi pengecualian cukai hiburan.

Sementara itu, Richard memberitahu cukai hiburan tidak lagi relevan pada zaman sekarang.

Katanya, Akta 103 (Akta Duti Hiburan 1953) merupakan cukai era penjajah yang masih digunakan untuk mengawal selia pusat hiburan dan taman tema.

"Ia pada asalnya bertujuan untuk menampung 'cukai mudarat' untuk hiburan yang agak banyak pada zaman penjajah di mana kelab malam, pertunjukan tarian bogel, perjudian, tinju, tarian joget dan aktiviti seperti itu diletakkan di bawah akta ini.

"Hari ini ia masih digunakan untuk pusat hiburan keluarga seperti- taman tema, taman tema keluarga (FEC), muzium, zoo, aquarium, taman air, pusat boling dan pawagam. Ini adalah kes klasik di mana evolusi kawal selia telah ketinggalan di belakang evolusi konsep perniagaan serta hiburan," katanya.

Dia juga menggesa kerajaan negeri Pahang menyemak semula rayuan itu untuk memberi pengecualian cukai hiburan di negeri tersebut ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19.