Skip to main
Logo Malaysiakini

'Orde baru kuasa besar, syarikat teknologi dan farmasi perlu dielak'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Orde antarabangsa baru pasca pandemik yang dikuasai negara kuasa-kuasa besar, serta syarikat teknologi dan farmasi gergasi perlu dielakkan, kata Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata meskipun pandemik Covid-19 mendedahkan beberapa kelemahan dan kepincangan dalam masyarakat global hari ini, ia juga memperlihatkan norma baru yang tidak adil.

“WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) kini menjadi Majlis Keselamatan PBB yang baru. Negara pengeluar vaksin menjadi kuasa besar baru. Syarikat farmaseutikal gergasi menjadi Wall Street baru,” katanya ketika menyampaikan ucapannya bertema “Mengatasi Ketidaksamaan’ di Forum Demokrasi Bali ke-14, yang diadakan secara maya pada Khamis.

Ekonomi yang sangat tertumpu memperkayakan segelintir pihak hingga merugikan perniagaan yang lebih kecil telah muncul dan pada masa yang sama beberapa negara seperti Malaysia masih bergelut untuk mengimbangi kehidupan dan sumber pendapatan, serta mencari jalan untuk pemulihan ekonomi.

“Kami juga menghadapi banyak masalah apabila ia melibatkan pembangunan kewangan, perdagangan dan ekonomi antarabangsa. Kita mesti mengelak sama sekali demokrasi yang ‘mengabaikan’, ‘menyukarkan’ dan ‘memaksa’ rakyat,” katanya.

Sebaliknya, dia berkata negara perlu mengambil pendekatan pelbagai disiplin yang menyeluruh dan bersepadu yang memfokuskan kepada rakyat dalam proses pemulihan dan pembangunan negara.

Saifuddin menambah untuk sesebuah negara maju, seluruh spektrum masyarakat, termasuk negeri, perniagaan dan masyarakat awam perlu turut diambil kira dalam perbincangan dan perundingan serta membuat keputusan mengenai pembangunan negara.

Kesimpulannya, katanya; “Apa yang diperlukan bukanlah satu lagi kaedah baru ketidaksamaan. Apa yang benar-benar diperlukan ialah keseimbangan kemanusiaan dan demokrasi yang bertanggungjawab”.

-Bernama