Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tumpaskan Geng Yuva aktif lakukan jenayah di Sg Buloh

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menumpaskan kumpulan samun kedai runcit dan pecah rumah dikenali sebagai Geng Yuva yang dipercayai bergiat aktif di sekitar Sungai Buloh sejak Sept lepas setelah tiga ahlinya ditahan menerusi Op Khas Kuang.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa'aton Abu Bakar berkata suspek berumur 20-an hingga 30-an yang merupakan rakyat tempatan itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Sungai Buloh dan Rawang antara 28 Nov hingga 3 Dis lepas.

Katanya penahanan berkenaan dibuat susulan laporan kejadian samun bersenjata di sebuah kedai runcit melibatkan wang sebanyak RM350 pada 13 Nov dan kes pecah rumah membabitkan kehilangan barangan elektrik dan elektronik dianggarkan bernilai RM4,000 pada 20 Dis di sekitar Sungai Buloh.

Menurut Shafa'aton penahanan suspek terbabit juga dibuat berikutan kejadian kecurian sebuah kereta di luar sebuah pangsapuri di Jalan Uranus melibatkan kerugian lebih kurang RM6,000 kira-kira 8.15 pagi 11 Nov lepas.

“Antara modus operandi yang digunakan suspek ialah menyamar sebagai pelanggan sebelum menyamun mangsa dengan menyasarkan kedai runcit dan menggunakan kenderaan yang dicuri untuk kegiatan pecah rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 395/397, Seksyen 457 dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Shafa'aton berkata tahanan reman ke atas dua daripada tiga suspek berkenaan disambung hingga Ahad ini manakala seorang lagi diserahkan kepada IPD Tampin, Negeri Sembilan atas kesalahan melanggar syarat sekatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Dalam pada itu, Shafa'aton menyeru orang awam untuk membantu polis membanteras jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat kejadian jenayah di kawasan masing-masing.

- Bernama