Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah tolak saman fitnah kerajaan Sarawak pada Presiden PSB

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak saman fitnah yang difailkan kerajaan Sarawak terhadap Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh, berhubung kenyataan beliau mengenai isu cukai jualan negeri (SST) membabitkan Petronas.

Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin membuat keputusan itu selepas mendapati kerajaan negeri dinamakan secara salah sebagai plaintif.

Sepatutnya menurut Chin ia hanya dihadkan kepada atau merangkumi majlis mesyuarat kerajaan negeri. Justeru katanya locus standi dalam kes terbabit tidak dibuktikan.

“(Mahkamah juga mendapati) perkataan yang dipertikai tidak memfitnah plaintif dan oleh itu, mahkamah menolak writ saman serta pernyataan tuntutan plaintif dengan kos RM30,000 tertakluk kepada pentaksir,” katanya.

Kerajaan Sarawak sebelum ini memfailkan saman terhadap Wong bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta kerana mendakwa bekas menteri kewangan negeri itu mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 9 Mei lepas mengenai penyelesaian bersama antara plaintif dengan Petronas dalam isu SST.

Dalam penghakimannya, Chin berkata beliau sudah berkali-kali menasihati kedua-dua pihak agar menyelesaikan pertikaian itu menggunakan saluran politik dan bukan melalui mahkamah.

“Kes ini berakhir selepas perbicaraan selama 10 hari dengan memanggil tujuh saksi plaintif dan tiga saksi defendan yang ternyata telah menghabiskan wang serta masa kedua-dua pihak selain mahkamah ini.

“(Wang dan masa ini) sepatutnya digunakan untuk memberikan khidmat kepada pengundi dalam usaha meningkatkan rasa legitimasi kerajaan negeri di mata rakyat Sarawak,” katanya.

- Bernama